Liga Super Malaysia

Selangor sah gunakan Stadium Selayang sebagai gelanggang rasmi

Selangor akan kembali menggunakan Stadium Selayang sebagai gelanggang rasmi untuk musim 2018, selepas FMLLP menolak hasrat mereka untuk bermain di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Perkara ini disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, yang turut mendedahkan bahawa skuad Red Giants akan bermain di sebelah petang kerana lampu limpah di Stadium Selayang tidak menepati syarat kecerahan yang ditetapkan.

“Kita tidak ada halangan mengenai perkara ini, cuma stadium itu hanya layak untuk digunakan pada aksi sebelah petang. Jadi kemungkinan selepas ini Selangor akan cuba mendapatkan peluang beraksi di stadium yang boleh digunakan di sebelah malam,” kata Kevin kepada Berita Harian.

“Apapun, perkara positifnya mereka sudah mengesahkan satu gelanggang sebagai venue untuk mereka beraksi, namun unit pertandingan FMLLP perlu melihat semula jadual pertandingan kerana tiga pasukan turut berkongsi menggunakan stadium terbabit.

“Ini kerana stadium berkenaan digunakan sepanjang tahun tetapi kita akan cuba membantu Selangor supaya dapat menjadikan stadium itu sebagai venue pasukan itu,” tambah Kevin.

Selain Selangor, dua lagi pasukan yang bakal menggunakan Stadium Selayang adalah Kuantan FA dan juga UKM FC.