Malaysia Liga Super Malaysia

Marcote dedahkan sebab Akhyar Rashid tidak diturunkan malam semalam

Di mana Akhyar Rashid?

Itu persoalan yang berada di minda setiap penyokong Kedah apabila pasukan mereka turun menentang Johor Darul Ta’azim di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, malam semalam.

Meskipun JDT jauh lebih bagus atas kertas, anak buah Ramon Marcote tampil dengan aksi yang bertenaga, dan hanya tewas 2-1 di Johor Bahru. Tetapi, ramai penyokong Kedah yang berpendapat pasukan mereka mungkin mampu cipta kejutan sekiranya Akhyar dibawa masuk pada pertengahan babak kedua semalam.

“Akhyar tidak bermain sebab pemain lain mengambil tempatnya. Dari segi pertukaran, saya buat keputusan untuk membawa masuk Messi (Farhan Roslan) dan Amirul berdasarkan tempo perlawanan semalam. Kenapa Messi? Sebab dia seorang pemain yang pantas dan saya ingat itu mungkin membantu kami mencari ruang di atas padang,” kata Marcote kepada Football Tribe Malaysia.

“Selain itu, anda juga perlu ingat bahawa Akhyar baru sahaja menjalani latihan bersama kami selama satu minggu. Saya tahu corak permainan Akhyar, tetapi saya lebih mengenali Messi dan kualiti yang mampu dia bawa. Walau bagaimanapun, Akhyar sudah tentu akan diberi peluang dalam minggu-minggu yang akan datang,” tambah Marcote.

Kedah membuka tirai jaringan pada minit ke-15 melalui gol Pablo Pallares, sebelum gol Luciano Figueroa menyamakan kedudukan untuk skuad Southern Tigers, 13 minit kemudian. Tempo perlawanan lebih seimbang pada babak kedua, namun JDT akhirnya berjaya mendapatkan gol kemenangan melalui Marcos Antonio pada minit ke-58.

“Hakikatnya adalah JDT bermain dengan enam pemain import, manakala kami hanya bermain dengan tiga. Tetapi itu bukan alasan untuk kami. Saya percaya dengan kebolehan pemain saya dan kita berjaya mencipta beberapa peluang gol, sepanjang 90 minit tadi.

“Bukan senang untuk bermain dengan JDT. Pelan kami adalah untuk bermain dengan ‘compact’ dan cuba menekan barisan pertahanan mereka dalam situasi counter-attack. Dan pemain saya menunjukkan tahap kegigihan yang bagus.  Gol kemenangan mereka hadir apabila kami bermain dengan 10 pemain, kerana Baddrol berada di luar padang pada masa itu.

“Apa-apa pun, saya akan menyaksikan rakaman perlawanan ini semula sebelum membuat persediaan untuk perlawanan seterusnya,” tambah Marcote.