Luar Negara Malaysia

Felcra FC akan menentang kelab Indonesia, Sriwijaya FC malam ini

Selepas Sarawak menerima undangan daripada Persebaya Surabaya, kini giliran satu lagi kelab Liga Premier, diundang oleh kelab dari Liga Indonesia.

Felcra FC akan bertemu Sriwijaya FC malam ini dalam perlawanan persahabatan ‘International Friendly’ di Stadium Gelora Sriwijaya Jakabaring dan akan berlangsung pada pukul 8.30 malam waktu Malaysia.

Perlawanan ini boleh ditonton menerusi akaun Instagram, Sriwijayafc.tv.

Pengendali Sriwijaya FC, Rahmad Darmawan tidak mahu memandang rendah kemampuan Felcra FC walaupun kelab berkenaan bermain di divisyen 2. Rahmad yang pernah menjadi ketua jurulatih T-Team mengenali sebilangan pemain Felcra terutamanya yang pernah beraksi di Liga Super.

Selain Rahmad Darmawan, ada seorang lagi pemain yang mempunyai pertalian di antara dua negara ini. Pemain Indonesia, David Laly merupakan pemain yang mengisi kuota import Asean bagi Felcra FC. Bekas pemain skuad Sukan SEA 2011 Indonesia ini pastinya mahu menunjukkan aksi terbaik menentang Sriwijaya FC malam ini.

Pada musim lalu, Sriwijaya FC menamatkan kedudukan di tangga ke-11 Liga 1 Indonesia sementara Felcra FC pula berjaya mara ke separuh akhir dalam penentuan ke Liga Premier namun tewas kepada Sime Darby. Disebabkan Sime Darby menarik diri daripada saingan Liga Premier pada musim ini, Felcra FC telah menggantikan tempat mereka.