Malaysia Liga Super Malaysia

Bintang Indonesia Evan Dimas memilih dua makanan Malaysia yang digemarinya

Apabila seorang pemain berkelana ke luar negeri, kebiasaannya makanan adalah antara perkara penting. Untuk menyesuaikan diri dengan makanan tempatan yang mungkin sedikit berbeza dengan makanan yang biasa dimakan mungkin kadang kala sukar bagi sesetengah pemain. Bagi pemain dari Eropah atau di luar Asia, mungkin makanan di Malaysia sedikit pedas bagi mereka.

Tetapi tidak bagi bintang baru Selangor Evan Dimas yang begitu menyukai dua makanan Malaysia iaitu Nasi Lemak dan durian.

Walaupun durian ada juga di Indonesia, tetapi bagi Evan, durian Malaysia mempunyai rasanya yang tersendiri. Dalam satu temuramah bersama media Indonesia, Bolalob.com, Evan berkata: “Buah durian di sini rasanya berbesza, lebih sedap dan biasanya tak perlu bersusah payah memilih buah seperti di Indonesia. Boleh ambil saja mana-mana buah dan mesti sedap.”

Selain daripada buah durian, Evan tidak dapat lari daripada menyukai makanan rasmi Malaysia, nasi lemak yang cukup terkenal.

“Saya suka nasi lemak, makanan khas Malaysia.”

Harapnya Evan tidak selalu makan nasi lemak dan durian terutamanya menjelang hari perlawanan. Dikhuatiri akan mengganggu prestasi hebatnya yang sudah berjaya membantu Selangor berada di puncak liga dari dua perlawanan pertama ini.