Malaysia Liga Super Malaysia

Evan Dimas enggan berpuas hati, mahu bantu Selangor jadi juara

Bintang berbakat Indonesia, Evan Dimas enggan berpuas hati dengan kemenangan ke atas Kuala Lumpur semalam dan mahu terus berusaha membantu Selangor menjuarai Liga Super Malaysia.

Bekas pemain Bhayangkara FC itu ketika ditemui selepas perlawanan ‘Klang Valley Derby’ berkata: “Ini merupakan perlawanan pertama kami, jadi kami tidak boleh berpuas hati dan sombong kerana ada banyak lagi perlawanan. Kami perlu tampilkan persembahan yang lebih hebat di setiap perlawanan jika mahu Selangor bergelar juara.”

MAHU TERUS KERJA LEBIH KERAS

Evan yang beraksi bersama rakan senegaranya, Ilham Udin Armayn dalam kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur itu turut menyatakan dia sedar bahawa dia perlu menunjukkan aksi lebih hebat di Malaysia kerana bergelar pemain import.

“Ada perbezaan (Liga Malaysia dan Indonesia). Di Malaysia agak sukar terutamanya kerana ini perlawanan pertama saya di luar Indonesia. Di sini saya perlu berkerja lebih keras kerana saya merupakan pemain import.

TENANG HADAPI KLANG VALLEY DERBY

“Saya tidak tahu sebelum ini (mengenai Klang Valley derby), tetapi saya ada mendengar cerita bahawa perlawanan ini adalah derby setempat. Tapi kami tetap rasional dan tidak beremosi dalam perlawanan sehingga mahu mencederakan pihak lawan.”

Selangor akan bertemu Melaka United dalam aksi Liga Super seterusnya di Stadium Cheras pada hari Rabu nanti.