Malaysia Liga Super Malaysia

FMLLP tiada konspirasi terhadap Selangor, kata Kevin Ramalingam

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata bahawa dia gembira dengan lampu hijau yang diterima oleh Selangor untuk menggunakan Stadium Cheras sebagai gelanggang rasmi mereka.

Skuad Red Giants sebelum ini dijadualkan bermain di Stadium Selayang, namun mereka berjaya menerima kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada hari Selasa lepas dan FMLLP turut membenarkan mereka untuk menukar lokasi gelanggang rasmi.

“Bagi pihak FMLLP sendiri, kami cukup gembira dan menyambut baik keputusan Selangor untuk bermain di Stadium Kuala Lumpur. Ia bukan sahaja membantu menjana pendapatan pasukan Selangor tetapi secara tidak langsung akan turut memeriahkan lagi industri liga tempatan,” kata Kevin menurut laporan Kosmo!

“Pasukan hebat seperti Sela­ngor memiliki ramai penyokong. Jadi, ia cukup ideal buat mereka bermain di sebelah malam, cuma saya mahu memperjelaskan sesuatu di sini selepas saya membaca kenyataan rasmi mereka semalam (kelmarin).

“FMLLP tidak memiliki agenda buruk kepada FAS mahupun kepada mana-mana pasukan lain dan saya agak terkejut jika wujud andaian menuduh FMLLP sengaja tidak mahu membenarkan Selangor bermain di Stadium Kuala Lumpur.

“Ia sudah pasti satu tuduhan cukup berat dan tidak benar. Seperti saya katakan tadi, Se­langor kini boleh menggunakan Stadium Kuala Lumpur sebagai gelanggang rasmi bagi saingan Liga Super musim ini,” tambah Kevin.

Selangor akan memulakan kempen Liga Super 2018 mereka dengan perlawanan ‘derby’ menentang Kuala Lumpur di Stadium Cheras pada hari Ahad ini.