Malaysia Liga Super Malaysia

Analisis: Gandingan empat penyerang TRW masih belum serasi, impak Rajagobal di PKNS

PKNS berjaya mencatat kemenangan Liga Super ketiga mereka malam semalam selepas menewaskan Kelantan 1-0 dalam sebuah perlawanan yang cukup mendebarkan di Stadium Shah Alam.

Bintang Singapura, Faris Ramli menjadi hero PKNS sekali lagi apabila berjaya menjaringkan gol tunggal untuk memberikan kemenangan yang cukup berharga bagi skuad Datuk K. Rajagobal. Tiga mata ini melonjakkan PKNS ke takhta Liga Super, sekurang-kurangnya untuk 24 jam, sebelum perlawanan di antara Terengganu dan Johor Darul Ta’zim.

Tetapi, yang lebih penting adalah kemenangan ini bakal meningkatkan tahap keyakinan para pemain PKNS, yang kini sudah berjaya mengutip 10 mata dan mencatat tiga ‘clean sheet’ dalam lima perlawanan pertama mereka.

Berikut adalah beberapa perkara yang kami perhatikan dalam perlawanan sengit di antara PKNS dan Kelantan:

FARIS RAMLI IMPORT ASEAN TERBAIK UNTUK MASA INI?

Dalam temu bual bersama wartawan Media Prima, Hanif Miswan, Faris Ramli mendedahkan bahawa dia hampir menyertai Kelantan pada awal musim ini, sebelum menerima tawaran daripada Datuk K. Rajagobal dan pihak pengurusan PKNS. Malam semalam, dia tampil dengan aksi yang cukup cemerlang untuk membuktikan kenapa kedua-dua pasukan mengejar tandatangannya untuk musim Liga Super 2018. Dia bukan sahaja berjaya menjaringkan gol, malah membuat dua atau tiga hantaran yang cantik, selain turut bekerja keras dari segi defensif.

BARISAN PENYERANG KELANTAN TIDAK EFEKTIF

Walaupun barisan serangan Kelantan dipenuhi dengan empat pemain yang cukup berkualiti – Bruno Lopes, Do Dong-Hyun, Ferdinand Sinaga, Mohammed Ghaddar – namun mereka masih belum memupuk keserasian di antara satu sama lain. Bruno Lopes sering nampak keseorangan di bahagian sayap, manakala gandingan Sinaga dan Ghaddar nampak tidak begitu efektif setakat ini. Malam semalam, meskipun Kelantan berjaya mencipta beberapa peluang, barisan pertahanan PKNS tidak mempunyai masalah untuk mengekang Sinaga dan Ghaddar. Hanya Do Dong-Hyun yang nampak bahaya setiap kali dia melakukan larian atau percubaan.

FULL-BACK PKNS CEMERLANG

Antara aspek paling penting dalam skuad PKNS ini adalah kebolehan pemain bek kiri dan kanan mereka. Rajagobal mempunyai K. Reuben untuk bermain di bahagian kanan, manakala bekas bintang Kelantan, Qayyum Marjoni pula bermain di bahagian kiri. Kedua-dua pemain ini bekerja dengan cukup keras sepanjang 90 minit dan larian-larian mereka di bahagian sayap menjadi antara faktor yang paling penting dalam corak serangan yang digunakan oleh anak buah Rajagobal, setiap kali mereka cuba melancarkan serangan counter-attack.

KELANTAN MERINDUI MORGARO GOMIS

Walaupun Morgaro Gomis bukan seorang pemain yang berminda kreatif seperti empat penyerang import yang digunakan oleh Kelantan, bekas pemain Birmingham itu cukup penting untuk keseimbangan skuad, terutamanya di bahagian tengah. Gomis direhatkan untuk membolehkan Ghaddar pulang ke skuad utama The Red Warriors, tetapi malam semalam, kelibat Gomis jelas dirindui oleh anak buah Yusri Che Lah. PKNS sering berjaya melepasi gandingan Piya dan S.Veenod di bahagian tengah dengan mudah – dan masalah ini mungkin akan berterusan sehingga Kelantan dapat mencipta strategi baru untuk mencari keseimbangan.

IMPAK RAJAGOBAL

Lima perlawanan, tiga kemenangan, tiga ‘clean sheet’, 10 mata.

Itu rekod PKNS di pentas Liga Super setakat ini dan bukan mustahil untuk mengatakan bahawa Datuk K. Rajagobal memainkan peranan yang cukup besar dalam pencapaian tersebut. Malam semalam, PKNS sekali lagi menunjukkan kekuatan mereka di bahagian pertahanan, menentang sebuah pasukan yang menurunkan empat penyerang import. Rajagobal telah membawa stabiliti ke dalam pasukan PKNS ini dengan corak taktikal yang bukan sahaja seimbang, tetapi realistik. Dia pandai membaca corak permainan pasukan lawan, dan bijak menyusun strategi supaya pasukannya dapat mengatasi lawan mereka, tidak kira betapa kuat pasukan tersebut. Jika PKNS dapat meneruskan rentak ini, mereka sudah tentu boleh memberi cabaran sengit kepada JDT dan Terengganu.