Malaysia Liga Super Malaysia

Kelantan tewas tipis di Shah Alam, Faris Ramli muncul hero PKNS sekali lagi

PKNS FC berjaya meraih kemenangan ketiga mereka di pentas Liga Super 2018 selepas menewaskan Kelantan 1-0 di Stadium Shah Alam hari ini.

Selepas memainkan peranan yang besar dalam empat perlawanan pertama, Faris Ramli muncul sebagai hero PKNS sekali lagi dengan gol tunggal perlawanan pada babak pertama, sekaligus membantu skuad Datuk K. Rajagobal meraih tiga mata berharga daripada sebuah perlawanan yang cukup sengit.

Yusri Che Lah menurunkan kesebelasan pertama yang kuat, dengan Ferdinand Sinaga dan Mohammed Ghaddar mengemudi jentera serangan mereka, manakala Do Dong-Hyun dan Bruno Lopes bermain di bahagian sayap.

Namun, pasukan tuan rumah berjaya mengawal tempo perlawanan sepanjang babak pertama, dan tidak memberi pasukan lawan sebarang ruang di bahagian tengah. Anak buah Rajagobal juga mencipta beberapa peluang bagus, termasuk percubaan Faris Ramli yang terkena tiang pada minit ke 20.

Pemain Singapura itu terus menekan pertahanan Kelantan dengan agresif dan akhirnya membuka tirai jaringan pada minit ke-40. Jonathan Acosta membuat hantaran lintang yang cantik, dan walaupun tandukan asal Faris Ramli diselamatkan oleh Khairul Fahmi, dia sempat membuat cubaan ‘rebound’ untuk memberi PKNS kelebihan 1-0.

Kelantan cuba bangkit semula pada babak kedua dan Do Dong-Hyun banyak terlibat dalam cubaan serangan yang dilakukan oleh anak buah Yusri Che Lah. Tetapi, PKNS berjaya mengekalkan ‘defensive shape’ mereka untuk mengekang segala serangan The Red Warriors.

“Ini merupakan kemenangan yang cukup positif. Intensiti perlawanan tadi tidak boleh dinafikan, kedua-dua pasukan bermain dengan mentaliti yang positif. Tetapi saya berpuas hati dengan persembahan pemain saya, walaupun mereka kelihatan letih dalam 15 minit terakhir,” kata Datuk K. Rajagobal selepas perlawanan tersebut.

Yusri Che Lah pula berpendapat bahawa pasukannya tewas kerana mereka memberi PKNS terlalu banyak ruang pada babak pertama.

“Pemain saya cuba bangkit semula pada babak kedua. Tetapi, kita perlu akui bahawa apabila kita beri ruang yang besar kepada pasukan seperti PKNS, mereka mampu menggunakan ruang tersebut untuk mencipta jaringan gol,” kata bekas pemain skuad kebangsaan Malaysia itu.

Kedua-dua pasukan akan turun berentap di Stadium Shah Alam sekali lagi pada 17 Mac akan datang, dalam saingan pusingan ketiga Shopee Piala FA 2018.