Malaysia Berita

Semua pasukan berkorban untuk Sukan Asia, kenapa Pahang tak boleh?

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi meluahkan rasa kecewanya terhadap Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) yang tidak membenarkan dua pemain tonggaknya, Azam Azih dan Matthew Davies menyertai pasukan B-23 untuk Sukan Asia 2018 di Jakarta.

Katanya, keputusan itu bukan sahaja menjejaskan persiapan pasukan, malah mengecewakan seluruh penyokong Malaysia.

“Tentu sekali dengan ketiadaan pemain ini akan mencacatkan sedikit perancangan jurulatih, saya ingat episod tak melepaskan pemain ini sudah berakhir, tapi masih ada pasukan yang tak melepaskan pemain untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.

“Ini bukan kekecewaan saya sebagai pengurus, tapi kekecewaan ini dikongsi dengan semua penyokong bola sepak yang menaruh harapan kepada pasukan ini.

“Saya masih menaruh harapan, saya tak tahu boleh atau tidak… pemain ini mungkin tidak dapat ikut ke China bagi latihan persediaan tapi mana tahu masih diberi ruang untuk pergi ke Indonesia nanti, saya merayu supaya Pahang beri pelepasan kepada permain ini untuk memenuhi harapan penyokong bola sepak negara,” katanya kepada Berita Harian.

Daripada empat pemain Pahang yang dipanggil jurulatih Datuk Ong Kim Swee, hanya Faisal Halim dan R. Kogileswaran diberi pelepasan manakala Azam dan Davies kekal bersama skuad Tok Gajah bagi mengharungi kempen Piala Malaysia.

Daripada senarai 28 pemain, kesemua pasukan tidak ada masalah untuk melepaskan pemain kecuali Pahang.

Ini belum termasuk kehilangan tiga pemain akibat kecederaan iaitu Aidil Zafuan, Syamer Kutty Abba dan Jafri Firdaus Chew manakala Hadi Fayyadh Abd Razak pula akan mengikuti sesi percubaan dengan salah sebuah kelab di Jepun terlebih dahulu sebelum menyertai Sukan Asia.

Jelas Yusoff, beliau menganggap soal temasya Sukan Asia yang tidak berada dalam kalendar FIFA tidak perlu dipersoalkan jika benar-benar ikhlas ingin membantu demi masa depan skuad kebangsaan.

“Semua pasukan mengorbankan kepentingan mereka, kenapa satu pasukan sahaja yang nak mengutamakan Piala Malaysia. Apa pun alasan kita sudah selalu dengar, bukan dalam kalendar FIFAlah , tak wajib hantarlah, tapi sekarang ini kita kena fikir kepentingan pemain-pemain ini dan pasukan kebangsaan.

“Inilah wajah pasukan kebangsaan akan datang, kalau di peringkat umur ini sudah susah nak lepaskan, macam mana nasib skuad kebangsaan nanti. Bila nanti pasukan kebangsaan main tak betul, kita salahkan pasukan kebangsaan, kita salahkan pemain sedangkan kita sendiri tidak beri ruang kepada pemain di peringkat yang sepatutnya,” katanya.