Malaysia Berita

Belum mula Sukan Asia, Ong Kim Swee sudah kehilangan empat pemain

Belum bermula Sukan Asia 2018 yang memulakan acaranya pada 10 Ogos ini, Ong Kim Swee kehilangan sehingga empat orang pemain untuk dibawa ke Indonesia.

Perkhabaran buruk itu diterima apabila Jafri Firdaus Chew menjadi pemain terbaru yang mengalami kecederaan hamstring pada sesi latihan manakala Hadi Fayyadh Abd Razak pula akan berlepas ke Jepun bagi mengikuti sesi percubaan dengan kelab liga divisyen dua negara itu, Roasso Kumamoto selama enam hari.

Dengan situasi itu, Kim Swee hanya akan membawa 22 pemain sahaja ke China bagi aksi persahabatan dengan skuad B-23 China sebelum berlepas ke Jakarta.

“Jafri terpaksa digugurkan kerana mengalami kecederaan hamstring ketika latihan semalam, dia memerlukan masa empat minggu untuk pulih, kita tak mempunyai banyak pilihan, hanya 22 pemain akan ke China.

“Kita mempunyai satu perlawanan persahabatan dengan China, di situ sahaja kita boleh menilai pemain dan jika masalah kecederaan menimpa, itu di luar kawalan saya, kalau berlaku juga kemungkinan kalau saya mahu Hadi ke Indonesia, saya akan bawa dia terus ke Indonesia, ini terpulang kepada keadaan di China dan apa yang berlaku sebelum kita ke Bandung,” katanya kepada Berita Harian.

Sebelum ini, dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Syamer Kutty Abba dan pemain kuota lebih umur, Aidil Zafuan terpaksa digugurkan kerana disahkan mengalami kecederaan.

Di Changzhou nanti, skuad B-23 akan menghadapi satu perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu China B-23 di Stadium Changzhou Olympic Sports Center pada Ahad ini dengan sepak mula adalah pada pukul 7.35 malam.

Hanya 20 pemain akhir akan dinamakan Kim Swee untuk terbang ke Bandung, Indonesia bagi menghadapi saingan Sukan Asia 2018 dengan Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan E akan memulakan kempen bertemu Kyrgyzstan pada 10 Ogos, diikuti aksi bertemu UAE (12 Ogos), Korea Selatan (17 Ogos) dan Bahrain (20 Ogos).