Malaysia Liga Super Malaysia

Paulo Josue, Raja Assist Liga Super dari Brazil

Tamat sudah Liga Super 2018. Kuala Lumpur, pasukan yang baru naik dari Liga Premier dan dikatakan antara calon yang akan turun kembali ke Liga Premier kekal di Liga Super untuk musim depan.

Tidak salah untuk dikatakan Kuala Lumpur boleh digelar ‘The Entertainer” bagi musim ini. Banyak perlawanan yang melibatkan Kuala Lumpur yang cukup dramatik. Biarpun Kuala Lumpur bolos banyak perlawanan, tetapi mereka merupakan pasukan yang menjaringkan gol kedua terbanyak di Liga Super di belakang JDT.

Seorang pemain yang perlu diberi tumpuan dan pastinya merupakan pemain terbaik Kuala Lumpur musim ini adalah, Paulo Josue. Pemain dari Brazil dengan nama penuh Paulo Josué Stürmer dos Reis ini meneruskan prestasi baiknya musim lalu untuk membantu Kuala Lumpur di Liga Super.

Pemain berumur 29 tahun daripada Rio Grande do Sul ini merupakan pemain dengan bantuan gol paling banyak di Liga Super. Musim ini sahaja dia membuat sembilan bantuan gol, lebih dua daripada Gonzalo Cabrera (JDT). Selain itu, dia juga turut membantu menjaringkan tujuh gol termasuk satu gol yang berjaya mencalarkan rekod tanpa kalah JDT.

Paulo tidak beraksi dengan kelab-kelab ternama di Brazil sebelum ini. Dia beraksi untuk kelab Divisyen 2 Brazil seperti Votuparanguense, Lajeadense, Esportivo dan banyak lagi. Kuala Lumpur merupakan pasukan pertamanya di luar Brazil.

Dia menyertai Kuala Lumpur di pertengahan musim lalu. Ketika itu, ramai yang tidak begitu mengenali pemain ini dan mungkin juga sedikit skeptikal dengan kehadirannya yang menyebabkan seorang lagi pemain import, Modibo Konte disingkirkan.

Tetapi sedikit demi sedikit, dia berjaya mencuri tumpuan penyokong Kuala Lumpur. Gandingannya bersama Guilherme De Paula begitu berbisa dan berjaya membantu Kuala Lumpur naik ke Liga Super. Tidak salah untuk dikatakan, bisa Guilherme De Paula musim lalu dan musim ini banyak dibantu oleh Paulo Josue.

Satu perkara yang perlu ditakuti oleh Kuala Lumpur adalah jika mereka tidak mengekalkan Paulo Josue untuk musim depan. Dengan prestasinya yang telah terbukti di Liga Super, pasti ada helang-helang yang sudah mula berlegar.

Bagi musim depan, Kuala Lumpur boleh membina pasukan di keliling Paulo Josue. Apa yang penting mereka perlu memberi lebih perlindungan kepadanya dan memudahkan tugasnya untuk melakukan kerja kreatif. Irfan Zakaria dan Zhafri Yahya boleh memainkan peranan besar untuk membantu Josue. Mungkin seorang lagi pemain import yang beraksi di bahagian tengah juga boleh membantu.

Jika Paulo Josue berhijrah ke pasukan lain musim depan, sukar untuk melihat Kuala Lumpur bertahan di Liga Super. Begitulah pentingnya ‘Assist King’ ini kepada skuad warga kota.