Malaysia Berita

Syed Saddiq pertahan pandangannya terhadap pemain naturalisasi

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tetap mempertahankan pandangannya mengenai pengambilan pemain naturalisasi dan mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terus memberi perhatian penuh kepada pembangunan di peringkat akar umbi

Katanya, beliau menyambut baik keputusan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membenarkan FAM menggunakan pemain berstatus naturalisasi untuk memperbaiki kemerosotan prestasi skuad kebangsaan.

Namun, pada masa yang sama, Syed Saddiq mengingatkan FAM supaya tidak melupakan pelan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi supaya pengembangan bakat dapat diteruskan pada masa hadapan.

“Tiada masalah tetapi kita tetap perlu titikberatkan pembangunan akar umbi bola sepak ini. Kita jangan lupakan pemain nasional kita yang berkelayakan dan berkemampuan. Tapi pada masa yang sama perlu ada keseimbangan.

“Saya akan berjumpa dengan FAM pada Khamis ini untuk membincangkan hala tuju bola sepak negara khususnya dari segi pembangunan akar umbi. Kita akan cari titik persamaan bagaimana Kementerian Belia dan Sukan (KBS) boleh membantu mereka dalam mengembangkan bola sepak negara,” katanya kepada Bernama.

Dr Mahathir dalam sidang media di Parlimen menegaskan skuad bola sepak kebangsaan boleh mengambil pemain naturalisasi tetapi tidak perlu sehingga menyenaraikan 11 pemain naturalisasi sekali gus menidakkan kemampuan pemain tempatan.

Baru-baru ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mencadangkan pengambilan pemain naturalisasi ke dalam skuad kebangsaan dan ia mengundang pelbagai reaksi termasuk Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menganggap cadangan tersebut perlu diperhalusi dengan baik.

Me­ngulas mengenai isu pemain bola sepak Bawah 16 tahun (B-16) negara, Amirul Ashrafiq Ha­nifah yang menerima ugutan bunuh daripada penyokong Indonesia, Syed Saddiq berkata, FAM perlu melihat perkara ini dengan lebih serius dan mungkin boleh mengambil tindakan undang-undang.

“KBS tidak boleh melangkaui batasan. Lebih baik perbincangan dilakukan antara FAM dan Persa­tuan Bola Sepak Indonesia (PSSI). Saya juga telah dimaklumkan bahawa pihak kita telah mendapat jaminan keselamatan Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi.

“Bagaimanapun, dari segi ugutan, ini kita tidak boleh toleransi. Ini adalah salah.” katanya.