Liga Super Malaysia Berita

FAS: Bumbung Stadium Shah Alam sudah dibersihkan

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon mengesahkan Selangor sudah boleh menggunakan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang tuan rumah apabila liga bersambung semula nanti.

Katanya, dengan bantuan JKR, bahagian bumbung yang rosak sudah dibersihkan sepenuhnya.

“Kami dah buang bahagian yang sebelum ini bocor, retak dan yang nampak macam serpihan plastik di atas bumbung,” katanya kepada Arena Metro.

“Tapi tak diganti dengan bumbung baru cuma dibuang dan biarkan ia berlubang kerana perkara yang dibangkitkan mengenai keselamatan di mana takut serpihan bumbung jatuh ke tempat duduk penyokong.

“Hasil perbincangan dengan beberapa pihak berwajib, kami dah buang dan memang berlubang. Kalau hujan memang basah di tempat duduk penyokong, kira macam main di stadium terbuka.”

Bagaimanapun, FAS masih menunggu kelulusan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menggunakan kembali Stadium Shah Alam.

“Kami dah maklumkan dan mereka pun ada membuat pemeriksaan. Saya harap kami boleh kembali guna Stadium Shah Alam yang juga gelanggang keramat Merah Kuning selama ini.”