Malaysia Berita

Sumareh dibenarkan beraksi untuk Malaysia-Hamidin

Mohamadou Sumareh sah dibenarkan untuk beraksi sebagai pemain kebangsaan untuk perlawanan akan datang dan segalanya kini terpulang kepada Tan Cheng Hoe untuk memilih pemain tersebut.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, berdasarkan prosedur ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), mana-mana pemain yang menetap lebih lima tahun dan memegang pasport antarabangsa sesebuah negara dibenarkan untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan.

“Kalau ikutkan untuk menjadi pemain nasional kalau dapat pasport dan tinggal selama lima tahun sudah boleh dipanggil, tapi ini terpulang kepada jurulatih pasukan kebangsaan kalau mahukan dia,” katanya kepada Berita Harian.

Pada masa yang sama, Hamidin turut mendedahkan bahawa FAM sedang melakukan kajian di beberapa negara yang mempunyai pemain yang sesuai untuk diambil sebagai pemain kebangsaan menerusi proses naturalisasi.

“Mengenai pemain naturalisasi ini, belum tentu diputuskan lagi kerana perlu ada kajian dan ketika ini pasukan yang diketuai Datuk Mohd Yusoff akan ke Brazil dan Cameroon bagi melihat lebih lanjut pro dan kontranya pemain naturalisasi.

“Kita tunggu cadangan dulu sama ada boleh diteruskan atau tidak. Cadangan penggunaan pemain naturalisasi ini untuk kebaikan bola sepak, tetapi semuanya terpulang kepada kerajaan sama ada boleh memberi kewarganegaraan atau tidak.

“Pandangan saya adalah berdasarkan persepsi bola sepak semata-mata dan cara ini tidak salah kalau dilihat seperti mana yang dilakukan oleh Perancis dan Croatia,” katanya.

Dalam pada itu, Hamidin berkata, pihaknya menetapkan sasaran realistik untuk sekurang-kurangnya layak ke pusingan kedua di Sukan Asia.

“Kita tahu semua pasukan besar berada dalam kumpulan kita, termasuk juara bertahan, Korea Selatan. Kita perlu tetapkan sasaran lebih tinggi untuk masuk ke kelompok 16 terbaik dan akan berusaha ke arah itu,” katanya.

Malaysia B-23 akan memulakan perlawanan pembukaan menentang Kyrgyzstan pada 10 Ogos ini diikuti UAE pada 12 Ogos.