Malaysia Berita

Sukan Asia 2018: Azam Azih dan Matthew Davies sahaja yang gagal laporkan diri

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi tempoh sehingga hari ini sahaja kepada dua pemain Pahang, Nor Azam Abdul Azih dan Matthew Davies untuk melaporkan diri bersama skuad bawah 23 (B-23) tahun negara.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihak FAM akan mendapatkan penjelasan daripada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) mengenai status Azam dan Matthew kerana dua lagi pemain Pahang, Faisal Abdul Halim dan R. Kogileswaran sudah pun melaporkan diri pada hari pertama kem latihan pusat di Wisma FAM semalam.

Katanya, jika Azam dan Matthew masih gagal menghadirkan diri, FAM akan menganggap dua pemain itu tidak berminat untuk beraksi di Sukan Asia bulan depan sebelum pasukan memulakan latihan pada pukul 5 petang hari ini.

“Kita dapat lihat 25 daripada 28 pemain yang dipanggil jurulatih sudah melaporkan diri dan seorang lagi, Hadi Fayyadh Abdul Razak sudah mengesahkan akan lapor diri hari ini. Maknanya hanya dua pemain lagi tidak hadir.

“Kalau ada surat atau sudah dimaklumkan secara rasmi kita boleh katakan mereka tak akan datang, tapi setakat ini tiada surat rasmi dan kita boleh anggap mereka gagal melaporkan diri pada hari pertama latihan.

“Kita menyusun pemain ini untuk aksi persahabatan di China pada 5 Ogos ini, jadi kita kena siapkan proses dokumentasi untuk ke sana selewat-lewatnya pada Khamis atau Jumaat ini,” katanya kepada Berita Harian.

Dalam pada itu, Ong Kim Swee pula enggan mengulas lanjut mengenai ketiadaan Azam dan Matthew memandangkan beliau sedang mempersiapkan pasukannya dengan pemain yang sedia ada.

“Terpulang kepada pihak pengurusan untuk menyelesaikan perkara itu dan yang penting saya harus fokus terhadap pemain sedia ada daripada memikirkan yang tidak hadir.

“Saya ada Daniel Amier Norhisham, Baddrol Bakhtiar dan Nik Akif Syahiran Nik Mat, saya akan lihat sama ada mereka boleh berada dalam skuad utama atau tidak.

“Kita hanya ada dua atau tiga hari latihan dan jika tak hadir esok, bermakna mereka tidak berminat,” katanya.