Malaysia Berita

Selepas dua bulan di Thailand, Shahrel Fikri akhirnya jaringkan gol pertamanya

Penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri Md. Fauzi akhirnya menjaringkan gol pertamanya bersama Nakhon Ratchasima selepas dua bulan beraksi dengan pasukan Liga Divisyen 1 Thailand itu.

Pencapaian tersebut bermakna Shahrel menjadi rakyat Malaysia pertama yang berjaya menjaringkan gol di Thailand meskipun sudah pemain ketiga yang beraksi di negara tersebut selepas Kiko Insa dan Curran Ferns.

Pemain pinjaman PKNP itu jelas gembira apabila berjaya menjaringkan gol sulung bersama pasukannya itu pada aksi suku akhir Piala Liga Thailand bertemu Ranong United, malam tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Ulang Tahun ke-80, penyerang berusia 23 tahun itu diturunkan dalam kesebelasan utama dan hasilnya berjaya meledak gol ketiga buat pasukannya.

Shahrel memanfaatkan hantaran lambung daripada rakan sepasukannya sebelum menyepak menggunakan kaki kanan yang menerjah ke gawang Ranong United pada minit ke-72, sekali gus membolehkan pasukan ‘The Swat Cat itu selesa dengan kelebihan tiga gol.

Namun, pasukan Divisyen 3 Thailand itu berjaya menjaringkan gol saguhati menerusi sepakan penalti pada minit akhir untuk menjadikan kedudukan 3-1 tetapi tetap gagal menghalang kemaraan Nakhon Ratchasima ke separuh akhir Piala Liga Thailand musim ini.

Menanti mereka di separuh akhir adalah Buriram United, Chiangrai United atau Bangkok Glass FC dengan undian separuh akhir akan berlangsung pada 14 Ogos ini bagi merebut trofi yang menawarkan tempat untuk beraksi di Kejuaraan Kelab Mekong 2018.

Shahrel mula menyertai Nakhon Ratchasima pada Jun lalu sebagai pemain pinjaman dengan tempoh selama lima bulan.

Beliau membuat penampilan pertamanya dalam Liga 1 Thailand ketika bertemu Sukothai FC pada 30 Jun lalu yang menyaksikan perlawanan berkesudahan 1-1.