Malaysia Asia

“Jangan sesekali tewas kepada Malaysia” – penyerang muda Indonesia beri cabaran kepada skuad negara

Pertembungan yang dinanti-nanti. Perseteruan paling gila di Asia Tenggara, Asia dan mungkin juga di dunia. Malaysia vs Indonesia.

Biarpun ini sekadar perlawanan skuad bawah 16 tahun, tapi pertemuan ini tetap bakal menjadi hangat seperti perlawanan skuad senior.

Bagi skuad muda Indonesia, mereka mempunyai motivasi yang tinggi untuk menewaskan Malaysia, terutamanya ini merupakan perlawanan separuh akhir di mana pemenang akan selangkah lagi bergelar juara.

“Seperti yang jurulatih kami katakana, kita boleh kalah lawan siapa sahaja tetapi tidak ketika menentang Malaysia. Jangan sampai kalah, itu menjadi motivasi kami semua,” kata penyerang skuad bawah 16 tahun Indonesia, Amiruddin Bagus Kahfi seperti dilaporkan Bola.com.

Skuad muda negara akan berdepan Indonesia di Stadium Gelora Delta Sidoarjo pada hari Sabtu ini dalam aksi separuh akhir. Malaysia mara ke separuh akhir selepas menewaskan Laos 1-0 dalam aksi penentu kumpulan B sekaligus menyertai Thailand mara ke separuh akhir.

Indonesia pula mara dengan penuh yakin selaku peneraju Kumpulan A dengan Bagus Kahfi menjaringkan 11 gol.