Berita Malaysia

Datuk Ong Kim Swee mahu rancang satu lagi perlawanan persahabatan sebelum ke Indonesia

Menjelang Sukan Asia 2018 di Indonesia, ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee kini dalam rangka persiapan terakhir bersama anak buahnya untuk membawa cabaran skuad negara.

Selepas menjalani latihan dan perlawanan persahabatan di China, skuad bawah 23 tahun negara akan kembali ke Kuala Lumpur untuk meneruskan latihan sebelum berangkat pada 13 Ogos nanti. Sebelum berangkat ke Indonesia, Datuk Ong Kim Swee merancang untuk mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan untuk skuadnya.

“Kami memerlukan satu lagi perlawanan persahabatan untuk memperbaiki kelemahan ketika menentang China,” kata Kim Swee seperti dilaporkan NST.

“Kita mempunyai lebih seminggu untuk mempersiap pasukan dan ini adalah berguna kerana kita boleh menambah baik setiap bahagian.

“Perlawanan Ahad lalu adalah perlawanan pertama kita sejak Januari, saya gembira melihat persembahan mereka dan keputusan perlawanan.

“Sudah tentu, persembahan pasukan tidaklah sempurna. Kami perlu memberi perhatian kepada bahagian tengah dan pertahanan.”

Dalam perlawanan pada hari Ahad lalu, skuad bawah 23 tahun negara tewas 1-2 kepada skuad bawah 23 tahun China. Akhyar Rashid membuka jaringan buat skuad muda negara sebelum China menjaringkan dua gol.

Skuad bawah 23 tahun negara akan berdepan Kyrgyzstan, Korea Selatan dan Bahrain di Sukan Asia bulan ini.