Malaysia Berita

Malaysia kekal beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil

Skuad negara kekal beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menghadapi Oman dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Keputusan itu dibuat selepas Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac bersama-sama ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon serta barisan kejurulatihannya melakukan lawatan bagi meninjau keadaan terkini padang di stadium berkenaan.

“Hasil pemeriksaan dan penilaian pada lawatan tersebut telah mendapati bahawa persediaan padang menjelang perlawanan pada 26 Mac ini adalah mengikut jadual dan kondisi rumputnya dijamin akan berada pada tahap yang terbaik untuk aksi menentang Oman itu nanti,” kata Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman.

Dengan pengesahan venue tersebut, tiket bagi perlawanan Malaysia lwn Oman itu akan mula dijual secara dalam talian di www.tickethotline.com.my pada Sabtu, 9 Mac 2024 dengan harga tiket bagi semua kategori dikekalkan iaitu sama seperti perlawanan pertama Kumpulan D menentang Republik Kyrgyz, November lalu.

Bagi kategori tiket Terbuka, harga ditetapkan pada RM40 untuk dewasa dan RM5 kanak-kanak bawah 12 tahun; RM60 bagi tiket Grandstand dan RM80 bagi tiket Premium.

Skuad Harimau Malaya sudah memulakan kem latihan pusat bagi persiapan menghadapi perlawanan ketiga Kumpulan D menentang Oman di Sultan Qaboos Sports Complex, Muscat pada 21 Mac, sebelum terbang pulang ke tanah air bagi perlawanan keempat di Bukit Jalil pada 26 Mac 2024.