Liga Super Malaysia Berita

Liga Malaysia: Selangor, PJ City dan UiTM FC dibenarkan guna stadium di Lembah Klang

Selangor, PJ City dan UiTM FC dibenarkan menggunakan stadium masing-masing menjelang sepak mula Liga Malaysia pada Sabtu ini.

Selangor dan PJ City akan beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sementara UiTM FC akan beraksi di Stadium UiTM, Shah Alam.

CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, keputusan itu dibuat setelah kerajaan menamatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Berdasarkan perkembangan terkini diumumkan kerajaan, pasukan yang sebelum ini berada di kawasan PKPD kini dibenarkan menggunakan venue masing-masing selepas PKPD ditamatkan termasuk daerah Seremban petang ini untuk membolehkan Stadium Tuanku Abdul Rahman digunakan pasukan Negeri Sembilan.”

“Ini sudah pasti berita yang menggembirakan buat pasukan terbabit memandangkan sebelum ini mereka tidak dibenarkan beraksi di venue dalam kawasan PKPD dan diminta mencari venue lain.”

Pada masa sama, dua pasukan Liga Premier iaitu Negeri Sembilan dan Skuad Projek FAM-MSN turut dibenarkan beraksi di venue asal di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi dan Stadium UiTM.

Sementara itu, perlawanan di antara UiTM FC melawan Perak yang sebelum ini dijadualkan pada 8 Ogos ini di Stadium Majlis Perbandaran Manjung diawalkan sehari di Stadium UiTM.

Selain itu, Ab Ghani berkata MFL telah mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kebenaran khas kepada pasukan Liga Malaysia susulan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 2 di Sabah yang menyaksikan individu memasuki negeri itu perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

“Kami berharap, permohonan bagi mendapatkan kebenaran khas daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri Sabah akan diluluskan,” katanya.

Ab Ghani juga berterima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak yang membenarkan pasukan Sarawak United dan Kuching City berlatih secara fizikal selain kebenaran beraksi di Stadium Negeri, Kuching buat kali pertama musim ini.