Liga Super Malaysia Berita

Perlis United layak beraksi Liga Super musim 2024-2025?

Perlis United dijangka menggantikan Kelantan dalam saingan Liga Super bagi musim 2024-2025.

Keputusan itu dibuat selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL mendengar permohonan Perlis menerusi cadangan daripada First Instance Body (FIB) yang telah membuat semakan dan penilaian teliti dokumen-dokumen yang diserahkan kelab M3 AFL itu.

“Berdasarkan semakan dan penilaian teliti terhadap setiap permohonan yang dikemukakan, Perlis United memiliki dokumen lebih kukuh,” kata CEO MFL, Datuk Stuart Ramalingam.

“Dengan salinan surat penajaan berjumlah RM25 juta daripada empat potensi penaja iaitu Mudim Zakaria Food Industries Sdn Bhd, Ivory Properties Group Berhad, M.A Intelligent Holdings Sdn Bhd dan Al Razi Holding (M) Sdn Bhd.

“Perlis turut telah mengemukakan salinan cek berjumlah RM5 juta daripada salah satu penaja tersebut sebagai bukti dana kewangan pasukan. Selain itu, kelab berkenaan juga menyerahkan surat sokongan daripada kerajaan negeri Perlis yang ditandatangani oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli serta surat sokongan daripada Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).”

Walau bagaimanapun, Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan Perlis United hanya akan diberikan lesen bersyarat luar biasa dengan mematuhi beberapa keperluan dan kriteria yang ditetapkan oleh FIB susulan janji dan jaminan yang diberikan kepada FIB daripada pegawai-pegawai PUFC semasa pembentangan mereka.

“MFL telah memaklumkan syarat-syarat berkenaan kepada Perlis United dan kini sedang menunggu dokumentasi penajaan dan bukti dana mereka,” tambah Stuart.

Turut mengemukakan permohonan adalah kelab Imigresen FC, KL Rovers FC dan Harini Selangor FT susulan penolakan permohonan lesen kebangsaan Kelantan FC untuk bertanding dalam Liga Super 2024-2025.