Liga M3 Berita

Perlis United boleh digantung

Perlis United boleh digantung daripada menyertai sebarang pertandingan bolasepak kerana dianggap sengaja memanipulasi pemain untuk menandatangani surat penamatan kontrak supaya mereka boleh mendapatkan gaji bulan Mac.

Peguam undang-undang sukan, Zhafri Aminurashid berpandangan, surat penamatan kontrak itu tidak sah kerana ia perlu dibuat dengan persetujuan bersama antara majikan dan pemain tanpa tekanan kepada pemain.

Katanya, kesahihan surat tersebut boleh dibawa ke Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan mereka boleh mengenakan tindakan kepada pasukan itu.

“Surat penamatan kontrak tersebut seharusnya dibuat sendiri oleh pemain dan pegawai bukan disediakan kelab,” katanya kepada Arena Metro.

“Apabila dapat buktikan surat itu ditandatangani dengan niat yang lain, jadinya surat itu boleh terbatal. Walaupun pemain dah tandatangan pada surat menyatakan persetujuan, pemain didorong di mana mereka tidak akan dapat gaji kalau tak sain surat itu.

“Kalau dalam keadaan PKP ini orang tak ada duit nak makan, jadi mungkin terpaksa sain untuk teruskan kelangsungan hidup. Ini jelas satu paksaan.

“Keadannya sama seperti kalau orang tunjuk surat nak beli rumah dan orang itu letak pistol atas kepala kita, dah tentu akan sain surat itu untuk teruskan kehidupan daripada rumah. Jadi ia bersifat paksaan atau ugutan.”

Walaupun pemain dijanjikan dengan gaji bulan Mac, setakat ini pemain hanya menerima separuh daripada gaji mereka.

“Kontrak haruslah dihormati tak kisahlah enam bulan ke atau setahun. Mesti dihormati oleh kedua-dua belah pihak, tapi apabila salah satu pihak itu tidak hormati, ia akan jadi pecah kontrak.

“Bila dah jadi macam itu, dalam arena bola sepak ia akan diputuskan oleh Jawatakuasa Status FAM, tapi dengan tindakan yang dibuat kelab ataupun subjek berkenaan, ia menunjukkan adanya niat jahat.”