Liga Super Malaysia Berita

Lee Tuck sanggup potong gaji demi bantu Terengganu

Ejen bolasepak, Effendi Jagan Abdullah mendedahkan bagaimana kliennya Lee Tuck sanggup membuat pemotongan gaji lebih banyak daripada mana-mana pemain demi membantu kewangan Terengganu.

Katanya, pemain 31 tahun itu memahami masalah yang dihadapi semua pasukan bola ketika ini yang kehilangan sumber pendapatan disebabkan penangguhan liga akibat wabak COVID-19.

“Pada awalnya Tuck setuju dengan pemotongan gaji selepas saya sebagai ejennya berbincang dengan pengurusan Terengganu,” katanya kepada Arena Metro.

“Tetapi keesokan harinya dia menghubungi saya untuk tambah lagi pemotongan gaji dan menjadikan jumlah keseluruhan agak tinggi.

“Dia cakap, tambahan itu atas rasa tanggungjawab untuk membantu pasukan dalam mengharungi saat sukar ketika ini.

“Dia jelas sayangkan pasukan dan sanggup berkorban kerana memahami masalah COVID-19 yang bukan saja melanda negara ini tetapi seluruh dunia.”

Effendi turut menasihatkan semua kliennya untuk membantu meringankan beban pasukan masing-masing.

“Untuk pemain bawah saya, mereka semua saya beri nasihat dan pandangan supaya kita sama-sama membantu pasukan masing-masing dengan buat pemotongan gaji.

“Syukur, mereka faham dan setuju untuk buat pemotongan. Gaji mereka ini saya minta kepada pengurusan untuk boleh mula memotong April ini sehingga latihan rasmi pertama pasukan dijalankan.”