Liga Super Malaysia

Kedah bakal beraksi Liga A1 musim 2025/2026

Kedah sedang dalam proses menyertai dan akan mempersiapkan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Al musim 2025/2026.

Ini selepas pasukan dari utara itu gagal memperoleh lesen kebangsaan sekaligus tidak layak beraksi dalam Liga Malaysia musim depan.

“Langkah ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kelab untuk memastikan kelangsungan dan daya saing KDA FC dalam arena bola sepak negara,” kata kenyataan rasmi Kedah.

Sehubungan itu, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, selaku pemilik majoriti KDA FC, akan mengadakan pertemuan bersama bekas pemain, barisan kejurulatihan dan kakitangan kelab dalam masa terdekat.

Pertemuan itu bertujuan mencari solusi dan penyelesaian kepada isu tunggakan gaji secara teratur dan adil, demi menjaga kebajikan serta profesionalisme semua yang terlibat.

Kedah turut memulakan proses penstrukturan semula pengurusan kelab dengan melantik barisan pengurusan baharu.

Katanya, pelantikan ini bukan sahaja akan menumpukan kepada penyelesaian isu-isu tertunggak, malah akan merangkumi perancangan strategik jangka pendek dan panjang.

Ini bagi memastikan kestabilan struktur pengurusan, komersial dan kewangan kelab, seiring dengan usaha memperkukuhkan prestasi pasukan di atas padang.

“KDA FC komited untuk membuka lembaran baharu yang lebih tersusun, telus dan mampan dalam segala aspek operasi kelab.

“Pihak pengurusan ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh penyokong, pemain, kakitangan serta rakan penaja yang terus memberi kepercayaan kepada kelab dalam fasa pemulihan ini.”