Liga Super Malaysia Berita

Kedah tawar Quaresma

Kedah mengesahkan bahawa pihak pengurusan sedang mengadakan perbincangan untuk membawa masuk Ricardo Quaresma bagi Liga Super musim 2025/2026.

Ini dengan syarat semua perbelanjaan Quaresma ditanggung oleh pihak penaja.

Kedah antara pasukan Liga Super yang berdepan masalah gaji musim ini dan gagal dalam peroleh lesen AFC bagi musim depan.

Quaresma kini berusia 41 tahun dan sudah lebih 2 tahun tidak beraksi dalam bolasepak profesional sejak mengumumkan persaraan pada 2022.

Namun, Kedah menyatakan bahawa perbincangan dengan Quaresma dan penajanya telah pun bermula sejak bulan Mac lalu.

“Pihak kami akan meneruskan inisiatif yang baik ini untuk bersiap sedia menyediakan sebuah pasukan yang lebih mampan di musim hadapan,” kata Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar.

“Kita mendoakan yang terbaik untuk KDA FC dan semoga Ricardo Quaresma menjadi sebahagian daripada keluarga Sang Kenari di masa hadapan.”

Daud bagaimanapun berjanji bahawa Kedah akan melengkapkan syarat perlesenan bagi musim baharu nanti.

“Mungkin ramai yang sudah membuat tanggapan bahawa KDA FC sudah “terkubur”. Selagi ada ruang dan peluang, KDA FC akan tetap berusaha keras dan kuat untuk menyelamatkan kelab KDA FC.

“Saya percaya dengan sokongan dan bantuan anda semua, akan dapat mengurangkan bebanan kami yang sememangnya amat berat.”

Quaresma akan beraksi dalam perlawanan persahabatan All Star Kedah dan All Star Malaysia di Stadium Darul Aman pada 5 Mei ini.