Liga Super Malaysia Berita

Kedah tumpu selesaikan tunggakan gaji, cari platform baharu

Kedah telah gagal memperoleh lesen kebangsaan untuk musim 2025/2026 dan tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super musim akan datang.

“Kegagalan ini berpunca daripada aspek pematuhan kewangan yang tidak dapat diselesaikan dalam tempoh yang telah ditetapkan,” kata pemilik pasukan, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf secara terbuka kepada seluruh penyokong, penaja, pemain dan kakitangan kelab yang terkesan dengan berita ini.

“Sebagai pemilik majoriti, saya mengambil tanggungjawab terhadap kekurangan yang berlaku dan menganggap perkara ini sebagai pengajaran penting untuk menilai semula struktur dan pendekatan keseluruhan kelab.”

Katanya, Kedah mengambil maklum di atas tunggakkan yang masih belum dijelaskan dan akan dimuktamadkan kaedah penyelesaiannya selepas sesi perjumpaan bersama semua pihak yang terkesan.

Pada masa sama, Kedah juga sedang mempertimbangkan beberapa pilihan lain bagi memastikan kelab terus kekal relevan dan terlibat secara aktif dalam landskap bola sepak negara termasuk penyertaan di platform lain yang bersesuaian dengan hala tuju pemulihan dan pembangunan semula kelab.

“Kami percaya, jatuh bukan pengakhiran tetapi peluang untuk memperbaiki dan membina semula asas yang lebih kukuh.

“Kami menganggap tempoh ini sebagai fasa ‘hibernasi Sang Kenari’, satu masa untuk memperbaiki diri, memperkukuh asas, dan bersiap sedia untuk kembali dengan lebih baik dan tersusun. Penyokong akan terus menjadi nadi penting dalam perjalanan ini.

“Terima kasih kepada semua yang tetap berdiri bersama kami, walau dalam waktu paling sukar ini. Semoga satu hari nanti, kita akan kembali lebih stabil, lebih kuat.”