Liga Super Malaysia Berita

Kelab Liga Super belum pasti ambil 15 pemain import

Kelab-kelab Liga Malaysia mengambil pendekatan berbelanja berhemah meskipun kuota pemain asing telah dibuka kepada 15 pemain bagi musim baharu 2025-2026.

Ini meskipun pelaksanaan sepenuhnya Financial Fair Play (FFP) di mana mekanisme gaji siling sebanyak 80 peratus dikuatkuasakan yang menyaksikan kelab tidak dibenarkan membelanjakan lebih daripada 80 peratus daripada jumlah bajet tahunan mereka untuk pembayaran gaji.

Pengurus Besar Sabah, Md Joh Wid menganggap peraturan baharu ini sebagai lonjakan positif buat Liga Malaysia.

“Peraturan baharu ini bakal memberi impak besar terhadap liga. Intensiti permainan akan lebih tinggi. Ini peluang terbaik bagi pemain tempatan meningkatkan kemampuan mereka jika mahu pergi jauh dalam sukan ini,” ujarnya.

Namun begitu, Md Joh Wid turut memberi peringatan agar kelab tidak terlalu ghairah dalam berbelanja.

“Situasi ini kami perlu waspada. Jangan hanyut hanya kerana mahu kuat di atas padang, tetapi akhirnya poket koyak. Berbelanja berpada-pada tidak bererti kita akan lemah,” tambahnya.

Nada yang sama turut disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Penang, Jeffrey Chew yang menekankan keperluan membuat penilaian teliti sebelum membawa masuk pemain import.

“Pemain-pemain ini ada beberapa kategorinya. Ada yang mahal kerana mereka telah berada di pasukan yang bagus dan ada yang pernah bermain di liga kita dan telah berpindah ke luar negara dan akan cuba balik ke sini.

“Kami akan menjaga proses kami untuk tidak terlalu banyak berbelanja dan menilai apa yang sepatutnya dijalankan. Kita akan melihat juga bajet kami mencukupi atau tidak dan kemudian kami akan membelanjakannya dengan baik. Itu yang penting,” katanya.

Pengurus pasukan Terengganu, Shahrizan Mohd Zain, menyifatkan penambahan kuota import akan memberi ‘kelainan’ dan warna baharu kepada saingan musim depan namun tetap menzahirkan harapan agar isu tunggakan gaji dan kewangan tidak lagi membelenggu pasukan.

“Mungkin dengan kuota yang ditambah memberi kemeriahan lagi dalam Liga M, tapi yang kita harap pasukan-pasukan dapat berbelanja ikut kemampuan masing-masing.

“Setakat ini Terengganu menggunakan 9 import kerana terlibat dalam ASEAN Shopee Cup, tapi untuk musim depan belum diputuskan lagi. Kita akan belanja ikut kemampuan kewangan kita,” tambahnya sambil memaklumkan bahawa persiapan pasukan termasuk pemain import dan lokal sedang giat dijalankan.