Liga Super Malaysia Berita

15 pemain import dibenarkan dalam Liga Super musim 2025-2026

Semua kelab Liga Super dibenarkan mendaftar pemain asing sejumlah 15 pemain dengan kuota pemain asing di atas padang seramai 7+2 (simpanan) dengan komposisi 4 Terbuka+1 Asia+2 ASEAN.

Ini berbeza pada musim lalu apabila 12 pemain asing dibenarkan didaftarkan oleh kelab ACLE dan ACL2 dan hanya 9 pemain asing bagi kelab-kelab lain dengan 6+1 (simpanan) pemain asing di atas padang menerusi komposisi 4 Terbuka+1 Asia+1 ASEAN sebelum ini.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (BOD) Ke-13 Bagi Penggal 2021-2025 pada 22 Mei 2025.

Perubahan itu dibuat selepas jumlah pendaftaran pemain dipinda iaitu:
-34 pemain untuk kelab yang bersaing dalam ACL Elite dan ACL2
-32 pemain untuk kelab-kelab lain kepada 30 pemain kepada semua kelab.

“Bagaimanapun setiap kelab tidak diwajibkan untuk memenuhi kuota pemain asing ini sebaliknya ia bergantung kepada keperluan dan kemampuan kewangan kelab masing-masing,” kata MFL.

“Perbelanjaan kelab bakal dipantau menerusi pelaksanaan FFP dengan menguatkuasakan mekanisme gaji siling ‘salary cap’ sebanyak 80 peratus kepada setiap kelab musim ini.”

Kata MFL, perubahan kuota import ini dibuat bagi memberi kesaksamaan kepada semua kelab dalam pendaftaran pemain import serta meningkatkan daya saing Liga Malaysia dengan kehadiran pemain import berkualiti berikutan jendela perpindahan pemain dalam tempoh sama dengan liga-liga besar luar negara.

“Kehadiran pemain import ini akan memberi daya tarikan kepada Liga Malaysia sekali gus meningkatkan nilai komersial Liga Malaysia dan kelab-kelab yang bertanding.”

Katanya lagi, kuota pemain import ini juga akan membantu kelab yang akan bersaing di kejohanan ACLE, ACL2 dan kejohanan Kelab Asia Tenggara memandangkan cabaran semakin hebat diberikan kelab-kelab besar di rantau ini.

“Penyertaan kelab Liga Malaysia di kejohanan AFC penting bagi kedudukan ranking kelab AFC untuk membolehkan kelab-kelab Liga Malaysia terus mendapat slot atau pertambahan slot bersaing di pentas tertinggi Asia.”