Liga Super Malaysia Berita

Perak tidak sertai sebarang liga, bersihkan segala hutang

Semua staf dan pemain telah dimaklumkan bahawa Perak tidak akan menyertai sebarang liga atau pertandingan pada musim akan datang.

Ini selepas pengurusan pasukan membersihkan RM8 juta hutang yang ditinggalkan oleh pengurusan terdahulu dan memperuntukkan RM10 juta setiap tahun untuk menguruskan operasi kelab.

“Setiap sen yang dilaburkan digunakan hanya untuk kos operasi dan gaji kesemua 4 pasukan, jurulatih, dan staf pentadbiran pada musim lalu,” menurut kenyataan rasmi pengurusan pasukan Perak.

“Setelah 3 tahun atau 2 setengah musim, dengan pelaburan melebihi RM40 juta, kami amat dukacita memaklumkan tiada lagi baki dana untuk diperuntukkan.

“Justeru, Perak menghentikan semua operasi berkuat kuasa serta-merta.”

Perak telah menghantar pulang pemain-pemain import dan membayar kepada staf-staf dan pemain-pemain dengan baki dana yang ada.

“Para pemain dan jurulatih kini bebas untuk mencari peluang di kelab bolasepak yang lain.

“Ini bukanlah penutup yang kami harapkan, tetapi kami perlu berpijak dibumi yang nyata serta menerima kenyataan bahawa kekurangan dana telah membataskan segalanya, dan sampai masanya kelab terpaksa ditutup.”

Buat masa ini, pengurusan pasukan Perak menguruskan peralatan latihan pasukan dan baki merchandise untuk dijual serta menunggu dana daripada MFL bagi menyelesaikan segala tunggakan.