Malaysia Berita

Piala AFF 2022: Malaysia raih kemenangan, walaupun Myanmar kuasai perlawanan

Skuad negara memulakan saingan Piala AFF 2022 dengan kemenangan apabila menewaskan Myanmar 1-0 di Yangon.

Faisal Halim menjaringkan satu-satunya gol negara pada minit ke-52 hasil hantaran Safawi Rasid.

Kemenangan itu merupakan kemenangan pertama diraih tanpa kehadiran pemain utama JDT dalam perlawanan kompetitif.

Ini meskipun Myanmar menguasai sepanjang perlawanan dengan 58 peratus berbanding 42 peratus dicatatkan Malaysia.

Malah, Myanmar mencipta 18 percubaan dengan 3 percubaan tepat berbanding Malaysia iaitu 9 percubaan dengan 2 percubaan tepat ke arah gol.

Malaysia pula lebih banyak mencatatkan ofsaid (4) berbanding Myanmar (1).

Myanmar juga membuat hantaran lebih banyak dan hantaran yang lebih tepat, namun turut mencatat kekasaran lebih banyak (5 kad kuning dan 20 kesalahan) berbanding Malaysia (2 kad kuning dan 13 kesalahan).

Malaysia sendiri bermula dengan kurang baik apabila gagal menjaringkan sebarang gol di separuh masa pertama walaupun mencipta beberapa peluang di hadapan gawang gol.

Namun, barisan pertahanan Malaysia dapat bertahan dengan baik sehingga ke wisel penamat masa tambahan, sekaligus mencatatkan kemenangan tanpa dibolosi pihak lawan.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia meraih 3 mata penuh dalam Kumpulan B.

Malaysia akan bertemu Laos di Bukit Jalil, Sabtu ini.