JDT mengumumkan lanjutan kontrak kepada beberapa pemainnya, hanya dua minggu selepas saingan Liga Super dan Liga Premier berakhir pada musim ini.
Pengumuman itu bagaimanapun dibuat dengan ringkas menerusi gambar yang dimuat naik di akaun Facebook Johor Southern Tigers.
Gambar itu menunjukkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim duduk bersama dengan Aidil Zafuan Abd Radzak, Farizal Marlias, Gary Steven Robbat, Ahmad Hazwan Bakri dan S Kunanlan.
Ini bermakna, Aidil menjadi pemain paling lama berkhidmat di JDT, apabila menyertai pasukan itu pada 2013.
Farizal, Gary dan Kunanlan menyertai JDT pada 2015 manakala Hazwan pula berhijrah ke Johor Bahru pada 2017.
Difahamkan, pemain yang turut melanjutkan kontrak ialah Nazmi Faiz Mansor yang menyertai JDT pada 2017.
Ahkyar Rashid turut melanjutkan kontraknya setelah dua tahun bersama JDT.
JDT juga tidak melupakan khidmat pemain muda apabila tiga pemain dari JDTII dilanjutkan kontrak iaitu Ramadhan Saifullah, Aiman Danish Azli Abdul Azim dan Feroz Baharudin.
Lanjutan kontrak itu dibuat sebelum JDT mengharungi saingan Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada Nov ini dan saingan Liga Juara-Juara Asia bagi Zon Timur anjuran Qatar yang dijadualkan berlangsung dari 18 November hingga 13 Disember ini.