Liga Premier Malaysia Berita

The Professor dilantik penasihat teknikal Kelantan

Bekas pemain bola sepak negara, Nasir Yusoff telah dilantik sebagai Penasihat Teknikal Kelantan FC berkuatkuasa serta-merta.

Nasir merupakan sebahagian daripada pasukan Johor yang pernah memenangi Piala Malaysia 1985 dan 1991 serta beraksi sebanyak 86 kali bersama skuad kebangsaan bermula tahun 1982 sehingga 1994.

Selepas bersara, Nasir terlibat dengan bidang kejurulatihan dan yang terbaru adalah pembangunan akar umbi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berkata, pelantikan Nasir dibuat atas pengalaman luas yang dimilikinya, terutamanya dalam pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.

“Saya percaya kehadiran le­genda yang dikenali The Professor ini secara tidak langsung memberikan suntikan moral kepada pasukan Kelantan FC,” katanya kepada Berita Harian.

“Nama Nasir bukan asing dalam dunia bola sepak tempatan dan sudah pasti kami me­ngalu-alukan kedatangan Nasir dalam keluarga Kelantan FC.

“Saya yakin dengan pengalaman dan ilmu yang dimiliki Nasir akan memberikan satu input kepada pasukan Kelantan FC untuk lebih berjaya pada masa akan datang.”

Nasir digelar The Professor dalam kalangan peminat bola sepak kerana beliau merupakan seorang pemikir di atas padang.

Setelah bersara sebagai pemain bola sepak, beliau menceburi bidang kejurulatihan sehingga berjaya memperoleh lesen kelas ‘A’ FAM.

Beliau mempunyai pengalaman menjadi jurulatih pelbagai peringkat umur termasuklah menjadi jurulatih Johor FA dan penolong jurulatih skuad kebangsaan (2004-2007).

Selain itu, beliau juga telah menubuhkan ‘D Prof Football Academy’ untuk mengasah bakat-bakat muda dalam bola sepak di negeri Johor.

Di JDT, beliau berperanan sebagai pencari bakat pemain-pemain baru.

Bagi Nasir, beliau berjanji akan berusaha keras untuk mencapai misi mengembalikan kegemila­ngan bola sepak Kelantan.

“Saya bersyukur dan ber­bangga kerana diberikan kepercayaan untuk menjadi Penasihat Teknikal Kelantan FC.

“Sudah pasti kami sebagai satu pasukan akan memberikan yang terbaik dalam misi mengembalikan maruah Kelantan FC. Tetapi perjalanan itu tidak mudah di mana kita perlu fokus satu demi satu visi dan misi Kelantan FC.”