
Brunei DPMM FC secara rasminya akan beraksi dalam musim baharu Liga Super 2025-2026.
Pasukan dari Brunei itu menjadi pasukan ke-14 yang akan beraksi dalam Liga Super selepas 13 pasukan diumumkan semalam.
Kali terakhir Brunei DPMM FC beraksi dalam Liga Super adalah pada musim 2007-2008.
“DPMM FC bakal beraksi sebagai kelab jemputan selepas mendapat kelulusan FIFA untuk beraksi dalam saingan liga profesional Malaysia, Liga Super yang dijangka bermula pada Ogos 2025,” kata pengumuman rasmi MFL.
“MFL amat mengalu-alukan kehadiran DPMM FC bagi menambah saingan dan kemeriahan Liga Malaysia 2024-2025 selepas kali terakhir mereka tampil dalam Liga Super pada 2008.
“Sudah pasti penyertaan DPMM FC akan memberikan satu tarikan dan cabaran baharu buat Liga Malaysia apatah lagi kelab ini memiliki sejarah tersendiri yang cukup dekat dengan penyokong tempatan.”
DPMM FC bukan kelab asing dalam bola sepak tempatan apabila ketika itu pasukan Brunei menyertai pertandingan Piala Malaysia pada 1979 buat kali pertama dan kemudian Liga Semi-Pro pada 1989.
Sebelum ini Brunei pernah menjulang trofi Piala Malaysia 1999 dengan menewaskan Sarawak 2-1 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dan rekod terbaik DPMM FC pula menduduki tangga ketiga dalam saingan Liga Super 2005-2006.
Musim lalu, Liga Super hanya disertai 13 kelab berbanding musim ini 14 kelab termasuk penyertaan dua kelab dari AFL A1, Melaka FC dan Imigresen FC.