Liga Super Malaysia Berita

KL terpaksa lantik jurulatih baharu, Nidzam Adzha tiada lesen Pro A

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa mengesahkan pihaknya terpaksa melantik jurulatih baharu untuk saingan Liga Super musim depan.

Ini selepas ketua jurulatih Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff masih belum memiliki lesen kejurulatihan Pro A, sekali gus hanya layak bertugas sebagai penolong jurulatih pasukan itu musim depan.

“Saya sudah berbincang dengan Nidzam, mungkin saya akan menggunakannya sebagai penolong jurulatih,” kata Nokman kepada Astro Arena.

“Tentang ketua jurulatih, kita kena tengok dulu. Saya menggemari ketua jurulatih yang nampak tidak akan menyusahkan jurulatih lain.

“Sebab apabila kami memilih ketua jurulatih, saya tidak mahu seorang yang tidak boleh bersama dengan jurulatih sedia ada.

“Saya akan berbincang dengan pihak pengurusan untuk mengambil ketua jurulatih yang tidak akan menggangu dan boleh bekerjasama dengan semua jurulatih sedia ada.”

Nokman juga mengakui pihaknya sedang berunding dengan beberapa jurulatih tetapi dilihat berminat untuk mendapatkan jurulatih asing.

“Ada beberapa jurulatih yang kami nampak. Ada juga jurulatih daripada Singapura yang dikenal pasti.

“Cuma, apa yang kami mahukan ketika ini adalah jurulatih yang boleh bersama kami dan perlu melihat juga gaji yang kami mampu berikan.”

Nidzam Adzha pula menerima keputusan tersebut.

“Saya tiada masalah untuk bekerja dengan mana-mana jurulatih import tetapi bagi saya adalah lebih baik jurulatih itu datang segera.

“Sekurang-kurangnya dia dapat menyaksikan perlawanan liga terakhir kami dan dapat menyaksikan saingan Piala Malaysia.

“Dengan itu, dia dapat mengenal pasti di mana kelemahan dan kekurangan kami untuk ditampung dalam saingan Liga Super musim depan.”