Liga Super Malaysia Berita

Mehmet Durakovic: Ada aspek positif jika Liga Malaysia bermula bulan Ogos

Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic tidak melihat sebarang masalah sekiranya saingan Liga Malaysia kembali bersambung pada September meskipun pihak kerajaan telah memberi lampu hijau seawal 15 Ogos.

Jelasnya, perkara yang paling dititikberatkan adalah tahap kecergasan setiap pemain yang perlu berada di tahap terbaik sebelum memulakan perlawanan sebenar kerana beliau enggan mereka terdedah dengan risiko kecederaan.

Justeru, sekiranya saingan kembali bersambung pada September, tiada masalah untuk pasukan kerana tempoh persediaan terutamanya latihan secara “body contact” dapat dilakukan lebih lama dengan lebih rapi.

Walaubagaimanapun, semuanya terserah kepada pihak Malaysian Football League (MFL) dan tetap positif sekiranya Liga Malaysia berlangsung pada bulan depan di mana kedua-dua pilihan itu tetap yang terbaik untuk semua pasukan.

“Semuanya bergantung kepada MFL apakah yang menjadi keutamaan sebelum mereka memutuskan tarikh sebenar saingan Liga Malaysia akan bermula.

“Sekarang ini kita mempunyai masa untuk mengumpulkan semua pemain yang ada dalam satu masa, dan sama ada kita bermula lebih awal atau bulan September sekalipun, tiada satu pasukan pun yang akan rasa apa-apa kelebihan kerana kita semua dalam situasi sama.

“Jadi, semua akan merasa benda yang sama di mana kalau daripada segi tempoh masa latihan yang lama, semua pasukan akan merasa perkara itu, jadi tiada masalah pun.

“Kalau bermula pada Ogos, mungkin kebaikannya daripada aspek lain pula, jadi terserah kepada MFL untuk memutuskan kerana bagi saya, kedua-duanya tetap pilihan yang positif untuk pasukan”, katanya.

Semua pasukan dibenarkan menjalani latihan secara “body contact” bermula esok (Rabu), tetapi masih perlu mengutamakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan untuk memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku.

Apa yang penting, Durakovic akan memastikan anak buahnya dalam keadaan terbaik sebaik sahaja mereka memulakan latihan fasa II dengan perlu lebih berhati-hati bagi elakkan sebarang kecederaan.

“Saya memang tidak sabar untuk melihat semua pemain berkumpul kerana ketika ini sesi latihan agak terhad apabila perlu dibahagikan dengan beberapa kumpulan.

“Saya amat berpuas hati dengan kecergasan yang ditampilkan pemain setakat ini kerana tiada kecederaan antara mereka, dan selepas ini perlu bekerja lebih keras dalam latihan untuk dapatkan balik momentum perlawanan”, jelasnya.

Ahli Lembaga Pengarah akan memutuskan tarikh rasmi Liga Malaysia setelah menerima laporan penuh persiapan untuk penyambungan liga daripada Sekreteriat MFL dalam tempoh terdekat ini.

Berdasarkan perancangan MFL sebelum ini, badan pentadbir Liga Malaysia itu akan meneruskan pertandingan CIMB Liga Super, Liga Premier pada 1-2 September dan akan berakhir pada 26-27 September dengan saingan secara separuh liga sahaja manakala TM Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 17-18 Oktober hingga 7 November sementara Shopee Piala FA dan Challenge Cup dibatalkan.