Santai Luar Negara

10 ‘comeback’ terbaik sepanjang zaman dalam sejarah Piala Dunia

Kejutan di dalam sukan sangat mengujakan penonton. Tidak terkecuali dalam sukan bola sepak, kebangkitan setelah ketinggalan merupakan saat yang mampu mengalirkan air mata keriangan terutamanya melibatkan pasukan kegemaran kita.

Bagi kejohanan Piala Dunia FIFA pula, setiap orang mungkin mempunyai pendapat tersendiri dalam menentukan definisi perlwanan dengan ‘comeback’ yang epik. Malah kebangkitan sesebuah pasukan setelah ketinggalan itu merangkumi beberapa faktor seperti aksi mengejutkan pemain tambatan, kebangkitan semangat berpasukan ataupun kesilapan mudah pihak lawan.

Dengan demam Piala Dunia 2018 yang semakin menghampiri, ayuh kita menyelusuri beberapa kemenangan yang dicipta menerusi ‘comeback’ dalam edisi Piala Dunia sebelum ini.

Australia lawan Croatia, Piala Dunia 2006 (Peringkat kumpulan)

Perlawanan ketiga bagi kumpulan F yang berlangsung di Mercedes-Benz Arena. Croatia mula membuka jaringan seawal minit ke-2 menerusi Darijo Srna sebelum Australia dianugerahkan penalti pada minit ke-38. Craig Moore tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk menyamakan kedudukan. Separuh masa kedua, Niko Kovac pula sekali lagi meletakkan Croatia di hadapan sebelum Harry  Kewell menyamakan kedudukan pada minit ke-79 untuk melayakkan Australia ke saingan kalah mati. Perlawan ini juga menyaksikan 3 pemain dilayangkan kad merah oleh pengadil.

Brazil lawan England, Piala Dunia 2002 (Suku akhir)

https://www.youtube.com/watch?v=FNP8FY9L7g0

Kemenangan yang berpihak kepada skuad samba setelah mereka ketinggalan 1-0 hasil jaringan Michael Owen pada awal separuh masa pertama. Beberapa minit sebelum tamat separuh masa pertama, Rivaldo berjaya menyamakan kedudukan. Memasuki separuh masa kedua, Ronaldinho menghasilkan satu sepakan percuma yang cantik menewaskan David Seaman seterusnya meletakkan Brazil ke saingan separuh akhir. Malang buat Ronaldinho apabila beliau dilayangkan kad merah beberapa minit selepas menjaringkan gol epik itu.

Portugal lawan DPR Korea, Piala Dunia 1966 (Suku akhir)

Salah satu 'comeback' paling epik dalam sejarah Piala Dunia adalah perlawanan Portugal menentang Korea Utara. Pada satu ketika, Korea Utara mendahului dengan 3-0 sebelum Portugal merapatkan jurang dengan skor 3-2 sebelum tamat separuh masa pertama. Apabila masuk separuh masa kedua, pasukan Portugal adalah pasukan yang berlainan berbanding ketika separuh masa pertama. 2 gol daripada Eusebio dan sebiji gol oleh Joe Augusto telah mengejutkan penonton di stadium dengan skor akhir 5-3.

Jerman Barat lawan Belanda, Piala Dunia 1974 (Perlawanan akhir)

Perlawanan akhir semestinya menjadi satu perlawanan yang menarik untuk ditonton. Inikan pula bagi penyokong Jerman Barat mahu pasukan mereka menjulang trofi Piala Dunia di halaman sendiri. Walaubagaimanapun, Johan Neeskens meresahkan lebih 70, 000 penonoton di stadium apabila meletakkan Belanda mendahului menerusi penalti seawal minit ke-2. Namun, penyokong tuan rumah tetap bersemangat memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan mereka dan Jerman Barat membalas sokongan penyokong dengan melakukan 'comeback' melalui 2 gol menerusi Paul Breitner dan Gerd Muller untuk memastikan mereka menjulang Piala Dunia di tanah air mereka sendiri.

Perancis lawan Croatia, Piala Dunia 1998 (Separuh akhir)

Piala Dunia 1998 menyaksikan Croatia adalah salah sebuah pasukan terbaik apabila mereka mengalahkan juara dunia 3 kali iaitu Jerman, 3-0 untuk mara ke separuh akhir bertemu dengan Perancis. Mereka mula memasang impian untuk menjadi juara piala dunia buat kali pertama apabila Davor Suker meletakkan mereka dihadapan ketika perlawanan itu. Namun, Perancis bangkit daripada ketinggalan dengan menjaringkan 2 gol melalui Lilian Thuram seterusnya meranapkan impian Croatia.

Republik Korea lawan Itali, Piala Dunia 2002 (Peringkat 16 akhir)

Bagi yang menonto perlawanan ini pada tahun 2002, ini merupakan salah satu perlawanan yang sengit antara tuan rumah dan salah satu gergasi eropah. Christian Vieri meletakkan Itali mendahului seawal minit ke-18. Dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan, Korea Selatan berjaya menyamakan kedudukan pada akhir-akhir minit perlawanan seterusnya mengheret permainan ke masa tambahan. Francesco Totti dilayangkan kad merah, memaksa Itali bermain dengan 10 orang. Berbaki 3 minit masa permainan, Ahn Jung-Hwan menanduk masuk bola mengalahkan Buffon untuk membawa mereka ke saingan suku akhir.

Jerman Barat lawan England, Piala Dunia 1970 (Suku akhir)

Ketika Piala Dunia 1966 England mengalahkan Jerman Barat dalam perlawanan akhir untuk menjulang Piala Dunia di tanah air mereka sendiri. Tahun 1970 menyaksikan Jerman Barat membalas dendam ke atas England untuk mereka mara ke separuh akhir. Walaupun England mendahului dengan 2 gol, namun Franz Beckenbauer, Uwe Seeler dan Gerd Muller menjaringkan gol bagi memastikan misi balas dendam mereka ke atas England.

Uruguay lawan Brazil, Piala Dunia 1950 (Perlawanan akhir)

Membawa status sebagai pasukan pilihan, Brazil ingin memasang impian untuk menjulang kejuaraan Piala Dunia buat kali pertama. Keyakinan tinggi ini dibawa setelah mereka menang besar dalam 2 perlawanan sebelum ini. Suasana stadium gamat dengan sorakan penyokong Brazil apabila mereka mendahului pada separuh masa pertama. Namun, Uruguay dengan bijaknya mengejar daripada belakang untuk merangkul kejuaraan itu buat kali kedua dalam sejarah bola sepak mereka.

Jerman Barat lawan Perancis, Piala Dunia 1982, (Separuh akhir)

Selain daripada 'comeback' daripada ketinggalan sehingga dapat mendahului, ada satu lagi versi 'comeback' yang lebih epik iaitu mengejar untuk menyamakan kedudukan dan mengheret lawan ke penentuan sepakan penalti. Persis perlawanan AC Milan menentang Liverpool di Turki bagi kempen Liga Juara-Juara. Inilah juga yang dilakukan Jerman ke atas Perancis dalam perlawanan ini.

Jerman Barat lawan Hungary, Piala Dunia 1954 (Perlawanan akhir)

Dalam 10 minit masa permainan, Hungary telah mendahului dengan 2 gol. Bagi penyokong Jerman Barat, mereka merasakan impian mereka untuk menjulang Piala Dunia telah lebur. Namun, bagi pemain, tidak sesekali mereka mengalah selagi wisel penamat tidak ditiup pengadil perlawanan. Kemudiannya, mereka mengejar untuk menyamakan kedudukan 2-2. Perlawanan kelihatan bakal dimenangi oleh sesiapa sahaja. Jerman Barat pantas mengambil peluang untuk menjaringkan gol ke-3 seterusnya mencipta sejarah menjulang Piala Dunia pertama kali dalam sejarah mereka.