Liga Super Malaysia Berita

Liga Super, Liga Premier dijangka tamat lebih lambat kerana ACL, Piala AFC

CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mengakui akan ada beberapa pindaan jadual Liga Super dan Liga Premier sebaik Liga Malaysia kembali bersambung pada Jun dan Julai depan.

Katanya, pindaan itu tidak dapat dielakkan selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bermain di Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Kedah serta Terengganu bermain dalam kempen Piala AFC dihendaki kuarantin selama 14 hari selepas pulang ke tanah air.

“JDT akan bermain ACL di Thailand manakala Kedah dan Terengganu bermain Piala AFC di Singapura nanti.

“Sebelum ini pasukan hanya dihendaki kuarantin selama tujuh hari sehaja selepas pulang dari luar negara tetapi KKM dan MKN menetapkan kuarantin selama 14 hari sekembalinya mereka ke tanah air, bagi mengelakkan sebarang pembawa virus baharu masuk ke dalam negara.

“Selain daripada itu, pasukan kebangsaan yang pulang dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas bermain dalam kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 turut menjalani kuarantin selama 14 hari juga antara salah satu faktor jadual Liga Super dan Liga Premier dipinda.

“Saya berharap pasukan bersedia dengan perancangan masing-masing dan sentiasa menjaga SOP gelembung sukan pada setiap masa biarpun liga sekarang sedang berehat.”