Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora yakin pasukan kendaliannya Johor Darul Ta’zim (JDT) akan mereka membawa pulang trofi Piala Malaysia pada aksi final menentang Kuala Lumpur (KL) City di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Jika menang, ini akan menjadi kali ketiga JDT memenangi Piala Malaysia selepas 2017 dan 2019.
“Kami tidak akan berdiam diri dan melihat apa akan berlaku dalam perlawanan ini,” katanya dalam sidang media semalam.
“Kami akan melakukannya, kami akan ‘telan’ lawan kami dan kami akan menjaringkan gol.
“Itu sahaja caranya untuk menang dalam final, dengan menjaringkan gol. Kami mara ke final untuk menang bukan hanya untuk beraksi.”
Bagaimanapun, Mora mengakui pasukannya berdepan tekanan lebih tinggi berbanding KL City.
“Ia amat sukar, tekanan adalah tinggi, tapi kami perlu menghadapi tekanan dan ketika ini pemain bebas dari kecederaan serta bermotivasi tinggi.”
Sementara itu, kapten JDT Mohd Farizal Marlias menyifatkan kemenangan Piala Malaysia malam ini akan menjadi bersejarah.
“Saya percaya bukan saya seorang saja ingin menang perlawanan ini.
“Sangat penting bagi kami dan kelab yang mana kami ingin letak nama JDT sebagai juara Piala Malaysia kerana ia ulang tahun ke-100 tahun. Itu sangat bermakna untuk kami dan kelab.”
Bagaimanapun, beliau mengakui JDT tidak boleh mengambil mudah keupayaan KL City.
“Kami pernah bermain dengan KL City FC dua kali dan pernah bolos sekali melalui bola mati.
“Ia menjadi pengajaran kepada kami dan dalam bola sepak apa-apa sahaja boleh terjadi. Jadi, kita harus lebih fokus untuk tidak membuat kesilapan mudah di hadapan gawang.”