Manchester United telah melantik Ralf Rangnick sebagai pengurus sementara secara rasmi sehingga akhir musim ini.
Pelantikan pengurus dari Jerman yang berusia 63 tahun itu dibuat bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Ole Gunnar Solskjaer yang dipecat selepas kekalahan United 4-1 kepada Watford awal bulan ini, merekodkan kekalahan ketujuh dalam 13 perlawanan dalam semua pertandingan.
“Manchester United berbesar hati mengumumkan pelantikan Ralf Rangnick sebagai pengurus sementara sehingga akhir musim, tertakluk kepada visa kerja,” kata kenyataan kelab.
“Berikutan tempoh ini, Ralf dan kelab telah bersetuju bahawa dia akan terus berkhidmat sebagai perunding untuk dua tahun lagi.”
Bekas pemain tengah United, Michael Carrick, salah seorang pembantu Solskjaer, menjadi pengurus pasukan buat sementara waktu dan akan kekal bertanggungjawab ke atas pasukan utama sehingga visa kerja Rangnick dimuktamadkan.
Rangnick, yang mula menjadi jurulatih pada awal 1980-an, adalah pendukung kuat ‘gegenpressing’ iaitu gaya bola sepak di mana pasukan memberikan tekanan tinggi dan menggunakan tekanan balas untuk memenangi semula bola secepat mungkin.
“Saya teruja untuk menyertai United dan memberi tumpuan untuk menjadikan musim ini berjaya untuk kelab,” kata Rangnick.
“Skuad ini penuh dengan bakat dan mempunyai keseimbangan pemain muda dan berpengalaman.
“Segala usaha saya untuk enam bulan akan datang adalah untuk membantu pemain memenuhi potensi mereka, secara individu dan, yang paling penting, sebagai satu pasukan.”
Rangnick sebelum ini merupakan ketua sukan dan pembangunan di kelab Rusia, Lokomotiv Moscow.
United yang berada di tangga ke-8 dalam carta Premier League dengan 18 mata daripada 13 perlawanan, melayan kunjungan Arsenal pada Jumaat ini.