Luar Negara Berita

Lionel Messi menang Ballon d’Or buat kali ke-7

Lionel Messi memenangi anugerah Ballon d’Or buat kali ke-7 dalam sejarah, menewaskan Robert Lewandowski dan Jorginho untuk sekali lagi menjulang trofi berprestij bola sepak dunia.

Penyerang Paris St Germain berusia 34 tahun itu telah memenangi Ballon d’Or pada 2009, 2010, 2011, 2012, 2015 dan 2019.

Kemenangan pada tahun ini adalah kerana Messi berjaya memenangi Copa America buat kali pertama bersama negaranya, Argentina, pada Julai lalu.

“Sungguh luar biasa untuk berada di sini lagi,” kata Messi di majlis penganugerahan Ballon d’Or yang berlangsung di Paris.

“Dua tahun lalu saya fikir ia adalah kali terakhir. Memenangi Copa America adalah kunci kemenangan.”

Messi, yang menyertai Paris St Germain secara percuma dari Barcelona pada musim ini, mengumpul 613 mata, dengan pemain Bayern Munich Lewandowski, dinamakan penyerang terbaik, meraih 580 mata.

Jorginho, yang memenangi Liga Juara-Juara Eropah bersama Chelsea dan Euro bersama Itali, menduduki tempat ke-3 dengan 460, di hadapan pemain Perancis, Karim Benzema dan N’golo Kante masing-masing di tempat ke-4 dan ke-5.