Piala Dunia 2018 Liga Super Malaysia

Lima pemain yang pernah beraksi di Liga Malaysia dan Piala Dunia

Piala Dunia 2018 bakal menjelang tidak lama lagi. Kemeriahan ini dirasai di seluruh dunia termasuklah negara kita, Malaysia. Tapi tahukah anda, sebenarnya Liga Malaysia pernah diwarnai oleh pemain-pemain import yang pernah beraksi di Piala Dunia? Mari kita lihat, siapa lima pemain yang pernah beraksi di Liga Malaysia dan juga Piala Dunia.

Hint: Tiada pemain Malaysia

Bosko Balaban - (Selangor/Croatia)

Pemain pertama dalam senarai ini adalah bekas penyerang Selangor yang juga pernah beraksi untuk Aston Villa dan Dinamo Zagreb. Pemain ini menyertai Selangor pada tahun 2012 dan menjaringkan 12 gol daripada 20 penampilan.

Dia telah memainkan peranan penting dalam membantu Croatia layak ke Piala Dunia 2002 dengan menjaringkan lima gol daripada lapan perlawanan di peringkat kelayakan termasuk hatrik ketika menentang Latvia. Biarpun berada dalam skuad Croatia untuk Piala Dunia 2002 dan 2006, Balaban sekadar berada di bangku simpanan dan langsung tidak beraksi untuk Croatia.

 

El Hadji Diouf - (Sabah/Senegal)

El Hadji Diouf antara pemain paling menyerlah ketika Piala Dunia 2002. Di Korea dan Jepun, dia mula menunjukkan kepada dunia kehebatannya. Dia dan rakan sepasukannya mencipta kejutan dengan menumbangnkan juara bertahan Perancis dalam perlawanan pertama mereka. Mereka kemudiannya mengikat Denmark dan Uruguay untuk layak ke pusingan seterusnya di mana Sweden pula yang menjadi mangsa mereka. Perjalanan Senegal dan El-Hadji Diouf tamat di suku akhir apabila tewas 0-1 kepada Turki.

Selepas Piala Dunia 2002, El-Hadji Diouf telah menyertai Liverpool. Namun, saat terbaiknya di England adalah ketika dia meninggalkan Liverpool untuk menyertai Bolton Wanderers. Tapi siapa sangka, pemain hebat seperti El Hadji Diouf ini akan memilih untuk menyertai kelab Liga Premier, Sabah. Diouf akan diingati untuk kritikannya mengenai padang Stadium Merdeka dalam perlawanan mereka menentang Kuala Lumpur.

Pablo Aimar - (JDT/Argentina)

Mungkin dalam senarai ini, Aimar adalah satu-satunya pemain berstatus bintang. Bekas pemain Valencia ini beraksi untuk Argentina di Piala Dunia 2002 dan 2006, dipilih mengatasi seorang lagi pemain tengah, Juan Roman Riquelme pada tahun 2002. Secara keseluruhan, Aimar beraksi dalam enam perlawanan di Piala Dunia dengan rekod tiga menang, dua seri dan tewas sekali.

Aimar mengejutkan peminat bolasepak di Malaysia apabila menyertai revolusi JDT pada tahun 2013. Namun, pemain ini gagal memberikan impak sewajarnya kepada pasukan di mana dia sekadar beraksi lapan perlawanan dan menjaringkan dua gol untuk JDT.

Kim Do-Heon - (Negeri Sembilan/Korea Selatan)

Pemain Negeri Sembilan ini antara pemain Asia yang pernah beraksi di Liga Perdana Inggeris. Do-Heon menyertai West Browich Albion pada tahun 2008 daripada kelab Korea Selatan, Seongnam Ilhwa.

Do-Heon merupakan sebahagian daripada pemain skuad Korea Selatan bagi Piala Dunia 2006 yang dipilih oleh ketua jurulatih, Dick Advocaat. Namun, disebabkan dia beraksi dalam posisi yang sama dengan pemain Manchester United, Park Ji Sung, dia langsung tidak beraksi dalam semua perlawanan Korea Selatan di Piala Dunia 2006.

Andrew Nabbout - (Negeri Sembilan/Australia) - *Bakal beraksi di Russia tahun ini*

Kisah Andrew Nabbout ini akan sentiasa menghantui Negeri Sembilan. Pemain Australia ini pernah menyarung jersi Negeri Sembilan pada tahun 2016. Namun begitu, Negeri Sembilan membuat keputusan untuk melepaskan Nabbout biarpun dia telah menjaringkan sembilan gol daripada 14 perlawanan dalam masa enam bulan.

Pemain ini yang pernah mengalami kemurungan kerana tekanan yang dihadapi telah bangkit semula selepas menyertai Newcastle Jets. Prestasi baiknya bersama kelab Australia itu telah menarik perhatian kelab Jepun, Urawa Diamonds. Kini dia bukan sahaja telah mendapat kembali sentuhannya di peringkat kelab, tetapi juga untuk skuad Australia. Nabbout kini akan diharapkan untuk membantu Australia di Piala Dunia 2018 nanti.