Luar Negara Eropah

Chelsea enggan berunding dengan Courtois, Alisson dalam radar

Chelsea dikhabarkan akan melepaskan penjaga gol utamanya, Thibaut Courtois dan pada masa yang sama sedang memikirkan untuk menandatangani penjaga gol AS Roma, Alisson Becker yang diminati Liverpool ketika ini.

Menurut Sky Sports Italy, tempoh kontrak Courtois hanya tinggal setahun sahaja dan Chelsea telah pun menamatkan sebarang rundingan kontrak baharu dengan penjaga gol Belgium itu.

Anehnya, walaupun Courtois merupakan antara pemain penting buat Chelsea apabila beraksi sebanyak 46 kali musim lepas, kegagalan pasukannya untuk layak ke Liga Juara-juara Eropah musim depan memberi kesan besar terhadap seluruh pasukan termasuklah jurulatihnya, Antonio Conte.

Bukan Courtois sahaja dijangka akan dilepaskan, malah beberapa pemain lain juga akan berpindah dengan Willian ketika ini dalam radar Manchester United.

Courtois sendiri memberi bayangan bahawa masa depannya bersama Chelsea masih samar-samar.

“Kita tengok dahulu apa yang akan berlaku selepas selesai Piala Dunia,” katanya ketika memenangi Piala FA dengan Chelsea.

Menurut Guillem Balague, Courtois yang sebelum ini beraksi untuk Athletico Madrid dijangka berminat untuk berpindah ke Real Madrid malah Paris Saint-Germain juga sedang memantau situasi penjaga gol itu.

Sementara itu, Alisson pula adalah antara penjaga gol yang paling menyerlah musim lepas dan disebabkan itu pasukan seperti Real Madrid dan Liverpool berminat untuk mendapatkannya.

Jika benar Courtois berpindah ke Real Madrid, Chelsea berkemungkinan besar akan berebut dengan Liverpool bagi mendapatkan Alisson bagi menggantikan Loris Karius yang membuat dua kesilapan besar ketika tewas 3-1 menentang Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara Eropah.