Liga Super Malaysia Berita

Justin Lim: Gary Steven Robbat bakal sertai Melaka United secara pinjaman

Pemilik baharu Melaka United, Datuk Seri Justin Lim mengesahkan Gary Steven Robbat akan sertai pasukannya secara pinjaman untuk baki saingan Liga Super musim ini.

Ini selepas bekas CEO pasukan itu, Datuk Saiful Mat Sapri sebelum ini mendedahkan terdapat rundingan dengan JDT untuk mendapatkan pemain secara pinjaman.

“Melaka United bakal menerima kehadiran pemain dari Johor Darul Ta’zim (JDT), Gary Steven Robbat yang semakin hampir menyertai skuad Hang Tuah secara pinjaman,” kata Justin kepada Sinar Harian.

Ini pertama kali Gary akan keluar menyertai pasukan lain sejak berhijrah ke JDT pada 2015.

Pada masa sama, beliau juga mendedahkan pihaknya telah pun mendapatkan dua import baharu dari Brazil.

“Dua pemain import baharu kita dari Brazil juga kini sudah sampai dan sedang dikuarantin sebelum menyertai latihan sedikit masa lagi.

“Kita berharap kehadiran pemain-pemain baharu ini dapat membantu Melaka United memperoleh keputusan yang lebih baik dalam baki perlawanan Liga Super musim ini.”

Beliau juga mengesahkan beliau akan memangku seketika tugas CEO pasukan, susulan peletakan jawatan Datuk Saiful.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

“Saiful memaklumkan dia mahu meletak jawatan bagi memberi tumpuan kepada perniagaannya.

“Walaupun berat, kami terpaksa menerima peletakan tersebut dan saya akan mengambil alih tugas tersebut sehingga akhir musim.”