Liga Super Malaysia Berita

Lee Tuck kembali ke Terengganu secara pinjaman

Terengganu kembali mendapatkan Lee Tuck secara pinjaman, selepas hanya beberapa bulan beliau menyertai Pahang.

Ini meskipun Terengganu sebelum ini membuat keputusan untuk tidak menawarkan kontrak baharu kepada pemain tengah berusia 32 tahun itu.

Pahang dan Terengganu mengesahkan mereka mencapai persetujuan terhadap Lee Tuck.

Keputusan Pahang untuk melepaskan Lee Tuck secara pinjaman juga adalah disebabkan kemasukan pemain tengah baharu iaitu Manuel Hidalgo dan Yakubu Abubakar.

Terengganu pula kehilangan dua pemain import tengah, Petrus Shitembi dan Chris Herd yang mengalami kecederaan jangka panjang.

“Lee dipinjamkan ke Terengganu setelah tutup jendela perpindahan kedua tahun ini dan akan kembali semula menyarung jersi Sri Pahang pada musim hadapan,” menurut kenyataan rasmi pasukan itu.

Manakala Terengganu dalam kenyataan rasmi yakin bahawa kehadiran Lee Tuck akan memberi banyak pilihan buat Nafuzi Zain untuk memilih dan menentukan pemain yang akan berada dalam kesebelasan utama bagi setiap perlawanan.