Berita

Akibat Kekecohan Perlawanan Liga Super, Perak Dan JDT DiDenda FAM

Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam mesyuaratnya pada 2 November 2016 (Rabu) telah mencapai keputusan berikut:

1.    Tindakan penyokong pasukan Perak yang telah membaling botol minuman ke arah penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) (Pertuduhan Pertama) serta penganjuran perlawanan oleh Persatuan Bolasepak Perak semasa perlawanan Liga Super 2016 antara Perak lawan JDT pada 6 Ogos 2016 di Stadium Perak, Ipoh telah melibatkan kes kecederaan (Pertuduhan Kedua).

Persatuan Bolasepak Perak  telah didapati bersalah kerana melanggar Artikel 70.1 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan ‘Tanggungjawab Bagi Kelakuan Penonton’  dan dibaca bersama dengan Artikel 42 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan ‘Pelanggaran Berulang’ bagi Pertuduhan Pertama serta Artikel 68 (e) Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan ‘Penganjuran Perlawanan’  dan dibaca bersama dengan Artikel 69.2 berkenaan ‘Kegagalan Mematuhi’ dan Artikel 42 Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘Pelanggaran Berulang’ bagi Pertuduhan Kedua dan dikenakan hukuman berikut:

i.Didenda sebanyak RM10,000.00 di atas kesalahan Pertuduhan Pertama;

ii.Didenda sebanyak RM37,500.00 dan bermain tiga perlawanan rasmi seterusnya tanpa penonton di gelanggang sendiri di atas kesalahan Pertuduhan Kedua (termasuk hukuman bermain satu perlawanan tanpa penonton seperti yang telah diputuskan pada 4 Mac 2016);

 iii.Diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

*Keputusan ini boleh dirayu oleh Persatuan Bolasepak Perak.

 gaduh

2.    Tindakan penyokong pasukan JDT yang telah membaling botol minuman ke arah penyokong Perak, memusnahkan papan iklan, mencederakan seorang jurugambar (Pertuduhan Pertama) dan menyanyikan lagu yang menghina pasukan Perak (Pertuduhan Kedua) semasa perlawanan Liga Super 2016 antara Perak lawan JDT pada 6 Ogos 2016 di Stadium Perak, Ipoh.

Persatuan Bolasepak Negeri Johor telah didapati bersalah kerana melanggar Artikel 70.2 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan ‘Tanggungjawab Bagi Kelakuan Penonton’  dan dibaca bersama dengan Artikel 42 Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘Pelanggaran Berulang’ bagi Pertuduhan Pertama serta Artikel 60.1 (a) Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan ‘Diskriminasi’ dan dibaca bersama dengan Artikel 60.2 (a) & (b) berkenaan ‘Diskriminasi’ bagi Pertuduhan Kedua dan dikenakan hukuman berikut:

 i.Didenda sebanyak RM15,000.00 di atas kesalahan Pertuduhan Pertama;

ii.Didenda sebanyak RM15,000.00 di atas kesalahan Pertuduhan Kedua;

iii.Diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

*Keputusan ini boleh dirayu oleh Persatuan Bolasepak Negeri Johor.