Liga Super Malaysia Berita

Nafuzi Zain: Selangor lebih kuat, tetapi Terengganu tidak bergantung kepada seorang pemain

Ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain mengakui Selangor mempunyai kelebihan dari segi pemain, namun menganggap pasukannya tidak sekadar bergantung kepada beberapa pemain.

Ini selepas Terengganu menewaskan Selangor 3-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin semalam.

Malah, dua gol yang dijaringkan oleh pemain gantian, Rahmat Makasuf dan Hakimi Abdullah.

“Bagi saya perlawanan ini begitu sukar buat pemain untuk meraih kemenangan lebih-lebih lagi perancangan awal kita sedikit terganggu dengan beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan,” katanya kepada Harian Metro.

“Malah Selangor yang hadir dengan reputasi baik selepas menumbangkan Pahang pada aksi pertama minggu lalu selain kekuatan pemain mereka lebih berbanding kita termasuk mempunyai penjaring import dan tempatan terbanyak musim lalu turut merisaukan kem pasukan.

“Tapi disiplin bertahan yang tinggi dipamerkan pemain sehingga ke minit terakhir selain mereka bermain mengikut taktikal yang dirancang, akhirnya kita berjaya meneruskan rentak kemenangan kedua berturut-turut.

“Selain itu aksi berpasukan tanpa bergantung kepada seseorang pemain serta mereka bermain sebagai satu unit mengikut sistem juga antara kunci kejayaan dan kelebihan kepada kita untuk mengutip tiga mata.

“Kemasukan Rahmat Makasuf dan Hakimi Abdullah menyuntik lagi kekuatan pasukan sebelum pemain berkenaan menjaringkan gol.”