Luar Negara Eropah

Senarai pemain dari liga bawahan Eropah yang bakal meletup musim depan

Malam semalam, Cardiff City berjaya meraih tempat kedua di pentas Championship, sekaligus mengesahkan slot Liga Perdana Inggeris mere untuk musim akan datang.

Situasi ini bukan sahaja bermakna Neil Etheridge bakal menjadi pemain Asia Tenggara pertama untuk beraksi di EPL, malah ia turut memberi peluang kepada pemain bintang Cardiff, Joe Ralls untuk mencuri tumpuan jutaan peminat bolasepak di seluruh dunia.

Selain Joe Ralls, terdapat beberapa lagi pemain liga bawahan di Eropah yang dijangka akan meletup di pentas liga-liga seperti EPL, La Liga, Serie A dan juga Bundesliga musim depan. Berikut adalah senarai sembilan pemain tersebut:


Ruben Neves - Wolverhampton Wanderers

Pemain tengah Portugal ini membuat keputusan mengejutkan apabila meninggalkan Porto untuk menyertai Wolves. Dia dilantik sebagai ketua pasukan Porto sejak berumur 18 tahun serta dinamakan sebagai bakat muda terbaik di dunia. Namun, bersama Wolves dia menunjukkan aksi mantap dengan menjaringkan enam gol yang kesemuanya dari luar kotak. Dia mempunyai rembatan yang padu, visi yang hebat dan boleh memimpin pasukan, menjadikan Neves seorang pemain yang berbaloi dilihat terutamanya dalam perlawanan penting.


Raul de Tomas - Rayo Vallecano

Dipinjamkan dari Real Madrid, Raul de Tomas merupakan bintang buat Rayo Vallecano di Segunda Division musim ini. Dia menjaringkan 23 gol untuk membantu Rayo Vallecano naik ke La Liga musim hadapan. Namun, dia mungkin tidak akan kekal bersama Vallecano selepas meluahkan hasratnya untuk membutikan diri bersama Real Madrid.


Diogo Jota - Wolverhampton Wanderers

Seorang lagi bintang muda dari Wolves. Jota sebelum ini menyertai Wolves secara pinjaman daripada Atletico tetapi telah ditandatangani sebagai pemain tetap pada Januari lalu. Menunjukkan aksi mantap di Liga Kejohanan, dia menjaringkan 17 gol yang menjadikannya penjaring terbanyak Wolves di liga musim ini. Seorang pemain yang lincah dan mampu mengubah perlawanan.


Joe Ralls - Cardiff City

Ralls baru-baru ini telah mula menunjukkan taring di bahagian tengah musim ini, terutamanya selepas ketiadaan Aron Gunnarsson yang telah selama ini menjadi jeneral tengah untuk skuad Bluebirds dalam beberapa musim yang lalu. Ralls telah membantu mencipta 32 peluang, 652 hantaran tepat, 4 bantuan gol dan menjaringkan tujuh gol.


Chucho Hernandez - Huesca

Penyerang berusia 19 tahun ini berada di kemuncak prestasi bersama Huesca musim ini, menjaringkan 16 gol untuk menjadi penjaring terbanyak Segunda Division. Pemain Colombia yang dipinjamkan dari Watford ini mash belum tentu kekal bersama Huesca selepas membantu mereka ke La Liga musim hadapan.


Josip Posavec - Palermo

Seorang lagi pemain hebat dari Palermo. Penjaga gol muda Croatia ini membantu pasukannya naik ke Seria A dengan aksi mantapnya. Biarpun jarang beraksi di separuh kedua musim, dia berjaya mengekalkan rekod tidak bolos dalam sembilan daripada 19 perlawanan di Serie B. Dia juga membantu Palermo menjadi pasukan yang paling kurang bolos di antara semua pasukan yang naik dari Serie B.

 

 

 

 

 


Miha Zajc - Empoli

Empoli memiliki Francesco Caputo dan Alfredo Donnarumma yang merupakan antara penjaring terbanyak Serie B. Namun, mereka tidak akan mampu menjaringkan gol sebanyak itu tanpa bantuan Zajc. Perancang tengah Slovenia ini telah menunjukkan aksi hebat musim ini dengan menjaringkan lapan gol, dan membuat 15 bantuan gol yang membantu pasukannya menjuarai Serie B.

 

 

 

 

 


Takashi Usami - Fortuna Dusseldorf

Dipinjamkan dari Augsburg, Usami telah menyatakan dia mahu kekal bersama Dusseldorf beraksi di Bundesliga musim hadapan. Bekas pemain Bayern ini telah memainkan peranan penting membantu Dusseldorf naik ke Bundesliga selepas menjaringkan tujuh gol dan membuat 3 bantuan gol di Bundesliga 2.


Marvin Ducksch - Holstein Kiel

Dipinjamkan daripada St Pauli, Ducksch telah menjadi antara pemain terbaik Bundesliga 2 tahun ini, menjaringkan 18 gol untuk menjadi penyerang paling prolifik dalam saingan liga. Jaringannya telah memainkan peranan penting membantu Holstein Kiel menempatkan diri di perlawanan kelayakan untuk promosi ke Bundesliga musim hadapan.