Santai Luar Negara

Senarai pengurus yang pernah dipecat dua kali dalam semusim

Hujung minggu lalu, Vincenzo Montella, secara rasmi telah dipecat daripada jawatan sebagai pengurus Sevilla. Pemecatan itu membuatkan legenda AS Roma ini ditamatkan kontrak oleh dua buah kelab dalam semusim!

Bagaimanapun, bukan dia sahaja yang mengalami nasi sebegitu kerana masih terdapat lima pengurus lagi yang turut melalui episod sama.

Francesco Guidolin

Dinamakan sebagai allenatore Palermo pada awal musim 2006/07, Guidolin dipecat Palermo akibat persembahan buruk pasukannya, terutama selepas tewas 4-3 di tangan Parma yang berada di zon penyingkiran. Dua minggu selepas dipecat, Guidolin kembali dilantik sebagai pengurus pasukan dan membawa Palermo ke slot Liga Europa. Apa yang pelik, dia sekali lagi dipecat pada akhir musim dan digantikan Stefano Colantuono.

Gian Piero Gasperini

Masih dari Palermo yang sangat terkenal dengan cara sering bertukar pengurus di bawah pimpinan Maurizio Zamparini. Gasperini dipecat pada Februari 2013 selepas melalui sembilan aksi tanpa kemenangan tetapi disebabkan dua perlawanan seterusnya berakhir dengan enam mata, Gasperini kembali diberi peluang. Pada 11 Mac 2013, dia sekali lagi dipecat selepas sekadar mengutip satu mata daripada dua perlawanan.

Ze Maria

Bekas bek kanan Inter Milan ini sempat melalui pemecatan berturutan bersama kelab Romania, Ceahlaul Piatra Neamt. Dia kali pertama dipecat pada 15 April 2015 tetapi disebabkan pemilik pasukan bersikap baik hati, dia diberi kesempatan kedua. Namun, pada 18 April, pasukannya telah menerima kekalahan sehingga membuatkan Ze Maria dipecat buat kali kedua, meninggalkan pasukan di tangga ke-16.

Tsanko Tsvetanov

Bukan dua tetapi tiga kali Tsvetanov dipecat dalam semusim! Pertama, dia dipecat Etar 1924 pada Ogos 2012 tetapi kembali diberi peluang, sebelum sekali lagi dipecat pada September 2012 kerana pencapaian buruk. Disebabkan desakan penyokong, Tsvetanov dilantik sekali lagi tetapi dipecat pada akhir musim kerana dikesan mengatur perlawanan.

Rolando Maran

Kembali ke Serie A, Maran juga pernah mengalami pemecatan berturutan di Catania pada musim 2013/14. Bermula daripada pemecatan di bulan Oktober 2013 kerana permulaan musim yang mengecewakan, dia dilantik semula pada Januari 2014. Namun, disebabkan persembahan pasukan tidak meningkat dan hanya satu mata dikutip daripada lapan perlawanan, Maran sekali lagi dipecat dan digantikan pengurus skuad muda Catania, Maurizio Pellegrino.

Vincenzo Montella

Korban terbaru daripada situasi yang memeritkan ini. Dipecat AC Milan pada akhir November 2017, Montellah dilantik Sevilla sebulan kemudian dan membawa pasukannya ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah. Namun, kerana prestasi buruk di peringkat domestik, Montella sekali lagi menerima surat pemecatan pada akhir April 2018.