Malaysia Berita

LaLiga jalin kerjasama rasmi dengan Hijau Kuning FC

LaLiga memeterai kerjasama rasmi dengan akademi Hijau Kuning FC bagi menyokong pembangunan bola sepak profesional di Malaysia dengan mewujudkan struktur bola sepak akar umbi yang kukuh di negara ini.

Kerjasama itu menyaksikan Hijau Kuning FC bekerjasama dengan tiga kelab LaLiga iaitu Atlético Madrid, RCD Espanyol dan CD Leganés.

Fasa pertama meliputi jurulatih tempatan yang akan diterbangkan ke Sepanyol untuk bekerjasama dengan pasukan yang terlibat dalam kerjasama ini.

Kerjasama ini berlangsung selama dua tahun sehingga Julai 2024.

Ia akan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu perundingan, mereka bentuk metodologi akademi dan falsafah yang akan dibangunkan dengan sokongan pakar daripada LaLiga.

Fasa kedua pula akan merangkumi sokongan untuk pembangunan pelan akar umbi dan melatih jurulatih dan kakitangan teknikal dalam metodologi dan fasa ketiga adalah mengukuhkan lagi pelan yang telah dilaksanakan.

“Bola sepak akar umbi Sepanyol dan khususnya akademi remaja kelab LaLiga mempunyai prestij yang besar di luar Sepanyol.

“Strukturnya sangat mantap dan telah menghasilkan pemain terbaik secara konsisten selama beberapa dekad.

“Oleh itu, penglibatan kelab adalah penting dalam projek seperti ini, dan mereka juga mendapati ia adalah cara yang menarik untuk mengukuhkan pengantarabangsaan,” kata Adrián Prol, Delegasi LaLiga di Malaysia.

Kerjasama itu dimeterai melalui satu majlis di ibu pejabat LaLiga di Madrid, Sepanyol yang turut dihadiri Duta Besar Malaysia di Sepanyol, Datuk Akmal Che Mustafa.

“Kami amat berbangga kerana telah menandatangani perjanjian dengan LaLiga yang akan membantu kami berkembang dalam aspek kejurulatihan, pengurusan teknikal dan menambah baik program akar umbi kami,” kata Presiden Hijau Kuning FC, Muhammad Talhah Zainol.

“Kami percaya bahawa LaLiga mempunyai keupayaan untuk meningkatkan program kami dalam tempoh dua tahun perjanjian ini dan akan membantu program akar umbi Kedah termasuk program bimbingan dengan metodologi, struktur dan pengetahuan mereka dalam bola sepak moden.”

“Perkongsian ini hanyalah permulaan era baharu bola sepak akar umbi di Kedah dan kami amat berharap agar semua akademi akar umbi di Kedah dan Malaysia akan merebut peluang ini untuk bersama-sama kita dalam membangunkan dan memupuk bakat muda untuk peningkatan bola sepak Kedah dan Malaysia pada masa hadapan.”

Dengan perjanjian ini, LaLiga meneruskan strateginya untuk menyokong pembangunan industri bola sepak profesional melalui bola sepak akar umbi bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Asia seperti di Singapura, Jepun dan projek pendidikan jangka panjang seperti perjanjian dengan Kementerian Pendidikan China untuk mengajar bola sepak di sekolah termasuk projek Akademi LaLiga dan Sekolah Bola Sepak LaLiga di negara seperti India, Indonesia dan Vietnam.

“LaLiga sebagai sebuah organisasi mempunyai pengalaman luas dalam menubuhkan akademi dan projek sukan antarabangsa, lebih daripada 550 sejak 2015, di mana lebih 200,000 pemain lelaki dan wanita telah dilatih,” kata Juan Florit, Ketua Projek Bola Sepak LaLiga.

“Hasilnya, semakin banyak kelab dan persatuan di negara lain mendapati sokongan kami berguna untuk pembangunan akar umbi dan remaja mereka dan mereka menggunakannya untuk meningkatkan bola sepak profesional tempatan.”

Mengenai Kelab Bola Sepak Hijau Kuning FC

Hijau Kuning FC telah ditubuhkan pada 2021 berdasarkan idea Projek Menjelang 2000 Kedah Darul Aman oleh Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Bin Mohd Akil pada 1991.

Matlamat utama projek ini adalah untuk melahirkan pemain bola sepak profesional negeri Kedah dan pasukan kebangsaan Malaysia.

Selain itu, program ini bertujuan untuk membentuk sikap profesional dan pemain yang berpengetahuan dalam industri bola sepak antarabangsa.

Hijau Kuning FC telah bekerjasama dengan beberapa rakan strategik untuk menjayakan program ini seperti Kedah Darul Aman sebagai rakan rasmi Program Akar Umbi dan Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan Universiti Utara Malaysia.