Beberapa hari selepas Andres Iniesta secara rasmi mengumumkan perpisahannya dengan Barcelona pada akhir musim ini, timbul khabar angin mengenai destinasi seterusnya buat legenda Sepanyol itu. Satu laporan dari China mendedahkan bahawa sebuah kelab berminat untuk mengeluarkan dana berjumlah 81 juta EURO bagi mendapatkan khidmatnya.
Kelab tersebut adalah Chingqing Dangdai Lifan, pasukan dari Liga Super China. Kelab yang dikendalikan oleh Paulo bento itu sememangnya masih belum menjadi gergasi Asia tetapi mereka berani untuk mendapatkan Iniesta kerana memikirkan kenaikan populariti.
Media terkenal Sepanyol, Marca, mendedahkan bahawa kelab kota Chongqing itu menawarkan gaji sebesar 27 juta EURO semusim buat Iniesta. Berbekalkan tawaran kontrak tiga tahun, jumlah 81 juta EURO pastinya akan membuatkan wira Sepanyol di Piala Dunia 2010 itu sebagai pemain ketiga berpendapatan tertinggi selepas Neymar dan Lionel Messi.
Selain itu, pasukan itu juga bersedia untuk menguatkan perjanjian dengan membeli enam juta botol minuman anggur (wain) daripada perniagaan milik keluarga Iniesta, iaitu Bodega Iniesta. Perniagaan itu dibina oleh bapa Andres, Jose Antonio Iniesta, sejak 1990.
Sebelum ini, memang wujud laporan bahawa Iniesta tertarik untuk ke China bagi memperluaskan perniagaan keluarganya itu. Benua Asia tentunya sangat besar sehingga kedatangan Iniesta ke China bukan hanya untuk mendapatkan keuntungan buat pasukan milik Lifan Group itu, malah turut memberi kesan kepada perniagaan wain Bodega Iniesta.
Chongqing Lifan dilaporkan akan menilai produk Bodega Iniesta pada harga minimum enam juta EURO sebotol. Itu bermaksud 36 juta EURO adalah pendapatan bersih yang akan diterima keluarga Iniesta menerusi pangkalan mereka di Fuentealbilla, Provinsi Albacete.
Pada 2017, Iniesta telah mengunjungi Chongqing dengan tujuan acara promosi. Namun, para wartawan sukan sudah mula menghidu perkara disebaliknya, sekaligus menyebabkan khabar angin bahawa kapten Barca itu akan ke China lebih kuat dan heboh berbanding berhijrah ke negara lain.
Individu yang berada di sebalik Chongqing Dangdai Lifan adalah Jiang Lizhang. Jika nama ini seperti sudah didengari, mungkin disebabkan dia sudah bertapak dalam dunia bola sepak. Lizhang sudah memiliki 60 peratus saham dikelab Serie B, Parma, dan kelab divisyen dua Sepanyol, Granada.